Kementerian Pendidikan sebelum ini mengambil keputusan membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun 2020 berikutan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara.

Merujuk SINAR HARIAN bertarikh 22 April baru-baru ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, tindakan tersebut tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid.

"Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata," katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Tambah beliau, satu kaedah baharu untuk PT3 akan diperkenalkan dan ia akan akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik.

"Keputusan tersebut terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM,"

Sementara itu, bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Dr Mohd Radzi memaklumkan bahawa tarikh peperiksaan SPM akan ditunda kepada suku pertama 2021

Manoharan Muthusamy

Manakala pembukaan semula sesi persekolahan selepas PKP, katanya ia juga adalah tertakluk kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan  pula hanya akan dibuat apabila negara benar-benar pulih daripada wabak Covid-19.

"Apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan dan pengawalan penularan jangkitan termasuk amalan penjarakkan sosial akan diberikan keutamaan,"katanya.

Khairil Azmir Ahmad

Langkah KPM memerangi wabak Covid-19 turut mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan pendidik. Rata-rata menyambut baik keputusan membatalkan  Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun ini.

Menurut Naib Pengerusi, Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), SJKT Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan, Manoharan Muthusamy, tindakan yang dibuat oleh KPM pasca PKP merupakan satu usaha yang menunjukkan kesungguhan dan kebijaksanaan, khususnya penjadualan peperiksaan awam dan pembukaan sesi persekolahan.

"Ini merupakan satu usaha untuk merangka dan merancang keadaan luar jangkaan  menghadapi Covid-119, bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia. Antara sektor yang bergitu terkesan dengan situasi ini adalah pendidikan,"katanya.

Sementara itu, Guru Bahasa Inggeris dari Sekolah kebangsaan Runchang, Pekan Pahang, Cikgu  Samuel Isaiah pula berkata, beliau menyambut baik keputusan yang telah dibuat oleh KPM, untuk menangguhkan peperiksaan pada tahun ini.

Samuel Isaiah

Beliau yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Kepimpinan dan Polisi Pendidikan (Pendidikan Global dan Perbandingan) di State University of New York di Albany, New York Amerika Syarikat berkata kepada GPS Bestari, keputusan tersebut adalah hasil daripada kajian menyeluruh, mengambil kira pelabagai faktor dan pemegang taruh dalam sistem pendidikan.  

"Ia jelas menunjukkan KPM komited untuk memelihara keselamatan anak-anak murid dan juga warga pendidik. Bagi saya, faktor keselamatan dan nyawa adalah melebihi daripada aspek-aspek lain buat masa ini.

"Mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, guru-guru kita juga sedang berusaha untuk memberikan pendidikan yang terbaik untuk murid-murid di rumah, menerusi pelbagai medium seperti Whatsapp, video dan sebagainya,"katanya.

Dalam pada itu, Ketua Panitia Seni Visual, SMKA(P) Alawiyah Kangar,  Cikgu Khairil Azmir Ahmad, menyeru kepada semua pelajar agar menerima keputusan tersebut dengan positif.

"Tidak dinafikan, PT3, SPM dan UPSR adalah salah satu bentuk penilaian kepada pelajar. Namun apa yang ingin saya tekankan di sini, penilaian tersebut juga boleh dimulakan bermula dari rumah juga.

"Seseorang itu perlu kreatif untuk belajar, tidak hanya di sekolah, di rumah juga pelajar boleh belajar secara online bersama guru dan pelajar-pelajar lain,"katanya.

Tinjauan

"Saya menyokong penuh, apa jua yang disaranan yang telah dibuat oleh KPM. Ia sedikit sebanyak menunjukkan KPM memandang serius kesihatan dan keselamatan pelajar.  kami juga menyokong penuh perubahan takwim persekolahan, terutamanya bagi calon-calon SPM dan PT3. Kami yakin, pihak KPM akan meneliti lebih mendalam tentang risiko risiko dan juga kemungkinan-kemungkinan yang menyebabkan kita gagal untuk memutuskan rangkaian Covid-19"  - Elmy Azizan Abdul Aziz, Pengetua, SMK Teriang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan

"Walaupun peperiksaan PT3 telah dibatalkan, SPM dan STPM ditangguhkan ke suku pertama tahun hadapan, namun para pelajar masih boleh belajar dan ulang kaji seperti biasa.  Sebab sekarang ini setiap pelajar dibekalkan dengan pelbagai medium pembelajaran, seperti buku teks dan pembelajaran secara online. Jadi uruskanlah masa anda sendiri dengan sebaiknya, masa untuk belajar, masa untuk keluarga, dan berehat,"  - Norhafiza bt Mohd Aziz, Guru Panitia Bahasa Melayu, SMK Syed Alwi, Perlis

"Ada hikmah di sebalik pembatalan peperiksaan PT3 dan UPSR, antaranya ia dapat memberikan kesan positif kepada para pelajar dan juga guru. Di mana mereka tidak perlu lagi   fokus untuk mengejar silibus. Jadi, dengan pembatalan ini mereka dapat menjalankan aktiviti-aktiviti yang dapat membentuk kemenjadian setiap murid,"  - Stephen Isaac , Guru Sains, SMK (L) Methodist Sentul

"Amanat ini sebenarnya telah merungkai hala tuju sistem pendidikan yang akan berlaku selepas ini. Keputusan ini adalah yang terbaik, keputusannya juga telah dibuat secara bersama dengan segenap entiti yang mempunyai autoriti dalam bidang pendidikan. Kami warga pendidik menyokong penuh, kerana keselamatan anak didik adalah menjadi keutamaan buat kami," - Mohd Nizam Saidin, Guru Besar, SK Dato' Wan Kemara, Changlun, Kedah

"Tindakan yang diambil oleh KPM dalam mengubah  takwim peperiksaan utama, adalah satu tindakan yang wajar dan rasional. Terima kasih juga diucapkan atas usaha-usaha yang dilakukan termasuk  mendengar segala pandangan daripada peringkat bawahan, termasuk guru-guru dan ibu bapa dalam menangani penularan virus Covid-19. - Roslan Zakaria, Guru Besar, SK Sungai Binjai, Meru, Klang.

Artikel menarik:

'Fun Learning' bantu golongan istimewa belajar elak jemu, bosan dan penat murid

Guru pendidikan khas kongsi tip tarik minat murid berkeperluan khas belajar secara online

Projek STEM 3 guru bahasa Inggeris ini menang pertandingan antarabangsa bawa pulang geran RM45,000

JAIS guna kaedah penilaian dan pentaksiran berasas sekolah ganti peperiksaan batal