PUCHONG - Bagi melatih murid dengan cara komunikasi berkesan, membina jati diri dan karakter interpersonal, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Utama 2 dan Kelab Seni Seri Kenchana Putrajaya sanggup mengeluarkan wang sendiri bagi membiayai pementasan teater bangsawan 'Raja Lumu – Antara Sumpah, Janji, dan Tragedi'.

Guru Matematik, Cikgu Nor Zubaidah Salehudin berkata, inisiatif itu juga diambil bagi mengembangkan bakat murid, meningkatkan keyakinan diri dan menghayati sejarah kesultanan Melayu Selangor.

"Kami bertuah kerana mendapat kerjasama daripada  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Majlis Teater Selangor, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor, Persatuan Kesenian Citra Ugik Klang dan Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia Kuala Lumpur bagi menjayakan pementasan teater ini," katanya.

Menariknya, pementasan ini membabitkan guru dan 90 peratus pelakonnya ialah murid SK Puchong Utama 2 manakala pengarahnya bekas guru sekolah itu yang kini dilantik sebagai Setiausaha Kursus, Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris Kementerian Pendidikan (KPM), Mior Sharul Nizal Mior Ismail serta isterinya, Zuraida Hamsiah Mohamed Nasir.

Kesemua 125 warga SK Puchong Utama 2 meraikan kejayaan setelah berjaya mementaskan 'Raja Lumu – Antara Sumpah, Janji, dan Tragedi' sambil menunjukkan sijil daripada DBP.

Guru Matematik yang juga merupakan Pengarah Disiplin dan Busana, Cikgu Nor Zubaidah Salehudin berkata, walaupun tidak menerima sebarang tajaan tetapi pihaknya mengadakan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kelab Seni Seri Kenchana Putrajaya.

Turut membantu Majlis Teater Selangor, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor, Persatuan Kesenian Citra Ugik Klang dan Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia Kuala Lumpur.

Cikgu Nor Zubaidah berkata, pelakon untuk pementasan itu dipilih oleh Mior Sharul Nizal  yang mesra dengan panggilan Cikgu Mior.

"Cikgu Mior mengambil pelakon tanpa mengira latar belakang, maknanya mana-mana murid boleh sahaja menyertai pementasan itu dan Cikgu Mior akan melatih mereka sepenuh hati hingga mempunyai keyakinan tinggi untuk berlakon di hadapan audien.

"Latihan bermula pada pertengahan Februari lalu dan memandangkan kami tidak mendapat sebarang tajaan mahupun sumbangan, guru SK Puchong Utama 2 dan Kelab Seni Seri Kenchana Putrajaya menggunakan duit sendiri bagi menjayakan pementasan ini, yang keseluruhan kosnya hampir RM25,000," katanya.

Kata beliau, pihaknya bersyukur pementasan tiga hari bermula 5 Julai di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur itu mendapat sambutan.

Hujan lebat bukan halangan

Hujan lebat pada ketiga-tiga malam pementasan bangsawan lakonan kanak-kanak itu tidak menghalang kelancaran perjalanan pementasan.

"Auditorium yang mampu menampung 400 penonton telah dipenuhi seramai 250 orang pada malam pertama, malam kedua sekitar 350 penonton dan malam terakhir 350 penonton," kata Cikgu Nor Zubaidah.

Skrip yang ditulis sendiri Cikgu Mior dengan menjadikan Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor Mohamad Romazi Nordin ternyata berjaya menarik penonton dan penggiat seni untuk ke auditorium.

Sementara itu, Guru Besar, SK Puchong Utama 2, Suzana Abdul Latip berkata, pementasan teater tersebut adalah satu alternatif cara meningkatkan disiplin dan sahsiah pelajar.

"Pementasan Raja Lumu ini boleh membina jati diri dan karakter interpersonal murid, selain mendekatan generasi muda dengan teater tradisional Malaysia iaitu bangsawan," katanya.

Menurutnya, kumpulan tarian tradisional SK Puchong Utama 2 yang terlibat dengan persembahan selingan dalam pementasan berkenaan merupakan kumpulan yang telah mewakili Malaysia ke Asian Championship Of Folklore “Asia Folk 2019” di Ulaanbaatar Mongolia pada 12 hingga 17 Jun lalu. 

Poster pementasan 'Raja Lumu – Antara Sumpah, Janji, dan Tragedi' yang dijayakan warga SK Puchong Utama 2.

Tiga peritiwa penting

'Raja Lumu – Antara Sumpah, Janji, dan Tragedi' merupakan pengisahan sejarah Kesultanan Melayu Selangor sekitar tahun 1766 hingga 1782.

Pengisahan bermula dengan keraian pertabalan Raja Lumu sebagai Sultan Selangor yang pertama oleh Sultan Perak pada ketika dan diberi gelaran Sultan Salehuddin Shah Ibni Almarhum Opu Daeng Chelak.

Terdapat tiga peristiwa sejarah penting sepanjang pemerintahan Sultan Salehuddin Shah yang cuba dipaparkan dalam pementasan ini.

Pertama mengenai Datuk Engku Klang yang bersumpah menumpahkan taat setianya kepada Sultan Salehuddin Shah dan mendapat tentangan daripada adindanya iaitu Datuk Kelana Sungai Ujung (Pemerintah Wilayah Sungai Ujong), Datuk Menteri Akhir Zaman Jelebu (Pemerintah Wilayah Jelebu), dan Datuk Penghulu Johol (Pemerintah Wilayah Johol).

Maka berlaku persengketan antara mereka sehingga mereka berlawan berpencak bertempur sesama sendiri.

Namun persengketaan mereka dapat dileraikan dan mereka berempat kembali berbaik dan menerima keputusan Datuk Engku Klang.

Peristiwa kedua babitkan Selangor dan Perak yang telah menjalinkan hubungan diplomatik melalui penikahan Sultan Salehuddin Shah dengan Puteri Perak anak saudara kepada Sultan Perak ketika waktu itu.

Peristiwa ketiga pula mengenai Sultan Muhammad Jiwa II yang berhutang sebanyak 15 Bahara Ringgit daripada Opu Lima Bersaudara ketika meminta pertolongan membantu Sultan Muhammad Jiwa II menaiki takhta Kedah semula.

Namun hanya 3 Bahara Ringgit sahaja yang sempat dibayar oleh Sultan Muhammad Jiwa II sebelum baginda mangkat.

Hutang tersebut telah dituntut oleh Raja Haji adinda kepada Sultan Salehuddin Shah daripada pewaris Sultan Muhammad Jiwa II iaitu Sultan Kedah pada waktu itu.

Namun Sultan Kedah tidak mahu membayarnya kerana berpendapat hutang itu adalah hutang ayahandanya.

Sultan Kedah mengundurkan diri ke dalam hutan apabila diasak bertubi-tubi oleh Raja Haji dan armada perangnya.

Perkhabaran Raja Haji gagal menuntut hutang telah disampaikan kepada Sultan Salehuddin yang ketika itu masih berada di Perak.

Dari kiri: Muhammad Khazin Umair Mohd Farid (Tahun Tiga); Muhammad arif Daniel Ahmad Mazli (Tahun Enam); Ahmad Arif Muhammad Azmir (Tahun Empat) dan Muhammad Hazim Syahmi Ahmad Fuad (Tahun Empat).

Sebaik sahaja menerima berita itu maka Sultan Salehuddin Shah pun bergegas ke Kedah untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Sultan Kedah telah dipanggil mengadap dan dengan kebijaksanaan Sultan Salehuddin satu perjanjian baharu telah dibuat dan Sultan Kedah bersetuju dengan perjanjian tersebut.

Akhirnya isu hutang tersebut dapat diselesaikan dan Sultan Kedah kembali bertakhta.

Pementasan yang berdurasi hampir 2 jam 30 minit ini mempunyai tujuh babak dengan berlatar belakangkan empat latar tempat iaitu, Istana Selangor, taman bunga Istana Perak, laman rumah Datuk Engku Klang, dan Istana Kedah.

Antara setiap babak pementasan diserikan lagi dengan persembahan persembahan selingan sebanyak enam persembahan dipertontonkan iaitu, deklamasi sajak, persembahan tarian tradisional Bugis, persembahan kumpulan tarian SK Puchong Utama 2, nyanyian solo daripada murid SK Puchong Utama 2, dan dua demo silat oleh Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia Kuala Lumpur.

Seramai 45 murid sebagai pelakon dan 30 murid sebagai persembahan selingan dan 50 tenaga produksi terdiri daripada guru.

Guru dan warga produksi 'Raja Lumu – Antara Sumpah, Janji, dan Tragedi' menunjukkan sijil yang dikeluarkan DBP.

Info

Pelakon utama pementasan 'Raja Lumu – Antara Sumpah, Janji, dan Tragedi'

1. Muhammad Nafiz Fitri Mohd Hafiz (Raja Lumu (Sultan Salehuddin Shah)

2. Muhammad Wafiy Mohd Abd Karim (Raja Haji)

3. Nur Dahiyah Kirana Mohd Nazri (Puteri Perak)

Guru yang terlibat:

1. Cikgu Nurazra Abdul Hamid - Penolong Pengarah Produksi 1

2. Cikgu Wan Nur Hafizah Wan Abd Rahman - Penolong Pengarah Produksi 2

3. Cikgu Nor Zubaidah Salehudin - Pengarah Disiplin dan Busana

4. Cikgu Raihana Samsudin - Teknikal Audio

5. Cikgu Syamimi Yaacob - Teknikal Kawalan Lampu

Duduk dari kiri: Ahmad Arif Muhammad Azmir (Tahun Empat); Muhammad Arif Daniel Ahmad Mazli (Tahun Enam); Muhammad Hazim Syahmi Ahmad Fuad (Tahun Empat); Nur Qaisara Ahmad Mazli (Tahun Empat); Nur Aliya Nazeera (Tahun Empat) dan Muhammad Khazin Umair Mohd Farid (Tahun Tiga) bersama Cikgu Nor Zubaidah (berdiri, kanan).

Guru yang terbabit sebagai produksi dari kiri: Cikgu Raihana, Cikgu Nurazra, Cikgu Syamimi, Cikgu Nor Zubaidah dan Cikgu Wan Hafizah.

Walaupun hujan lebat pementasan teater bangsawan murid SK Puchong Utama 2 tetap dapat sambutan.

Permaisuri Kedah yang dilakonkan murid Tahun Lima, Fatimah Nur Az Zahra Burhanuddin.

Murid Tahuan Enam, Zamer Zahzan yang memegang watak Sultan Kedah bersemayam di atas singgahsana.

Muhammad Nafiz Fitri (kanan) ketika beraksi di pentas sebagai Raja Lumu.

Baca:

Markah Matematik masih E, apa perlu buat? Ini pesanan Cikgu Mohamad Hakim

Cikgu Shahril kongsi 17 teknik jawab soalan Matematik UPSR melalui pemahaman gambar rajah

Link soalah percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

Cemerlang setiap kali peperiksaan, guru ini gariskan tujuh panduan untuk diikuti

12 muka surat nota ringkas Matematik UPSR Cikgu Nana