MACHANG - Semangat kebersamaan dan kekitaan di kalangan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong di sini bukan sahaja diterjemahkan melalui aktiviti  dan program sekolah yang dilaksanakan tetapi sanggup mengeluarkan duit poket sendiri bagi merealisasi bilik rehat guru di sekolah tersebut.

Guru Besarnya, Mohd Rofi Mohd Zain berkata, mereka berjaya mengumpulkan sebanyak RM2,000 bagi tujuan tersebut seterusnya berjaya  menghasilkan bilik rehat yang cukup menarik dan menggembirakan hati semua pihak di sekolah tersebut.

Katanya, idea tersebut dicapai sebulat suara oleh semua guru dan masing-masing tidak lokek untuk menyumbang sekalipun tidak pernah dipaksa berbuat demikian.

"Alhamdulillah, saya sendiri terkejut dengan hasil yang ditunjukkan sekaligus mewujudkan sebuah bilik rehat guru yang kondusif dan menjadi pusat aktiviti guru-guru  ketika luang.

"Selain berpakat mengumpul dana bagi membeli kelengkapan termasuk sofa dan meja makan,  guru-guru juga bergotong royong menghias bilik ini dan berjaya  disiapkan dalam masa dua minggu," katanya kepada Sinar Harian.

Ruang rehat yang selesa dan dihias indah.

 

Tambah Mohd Rofi, kedudukan bilik rehat yang terletak berdekatan bilik juga memberi kemudahan dan  keselesaan kepada 61 gurunya memanfaatkan bilik itu sebaik mungkin.

Katanya, selain rehat, bilik tersebut dapat digunakan sebagai pusat  aktiviti santai guru-guru termasuk perbincangan mengenai pembangunan murid sekolah tersebut.

Jelasnya, ia juga selaras dengan seruan Kementerian Pendidikan Malaysia yang meminta setiap sekolah  menyediakan kawasan rehat guru dalam usaha  mewujudkan suasana yang kondusif di sekolah.

SK Pulai Chondong antara sekolah yang mengadakan sambutan  besar-besaran bagi menyambut kedatangan muridnya pada hari pertama sesi persekolahan baharu, di sini dalam usaha menceriakan murid sekaligus menarik minat mereka hadir ke sekolah setiap hari.

 

Sudut khas bagi meraikan hari lahir guru.