TEMERLOH - Hasrat seorang guru taska keturunan orang asli untuk membuat pinjaman wang bukan sahaja tidak kesampaian tetapi dia pula rugi RM3,680 akibat ditipu scammer.

Dalam kejadian Khamis lalu, wanita berusia 36 tahun  itu tertarik dengan satu  iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook dan  berhasrat membuat  pinjaman sebanyak RM10,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang,  Superintendan Mohd Wazir  Mohd Yusof berkata, mangsa berhubung dengan  suspek melalui  aplikasi WhatsApp.

Katanya, tanpa syak wasangka mangsa menyerahkan  segala maklumat termasuk slip gaji dan nombor akaun kepada individu dikenali sebagai Hanif.

“Mangsa melayari laman Facebook Kwikash Service dan kemudiannya berhubung melalui WhatsApp.

“Setelah semakan, mangsa kononnya layak membuat pinjaman sebanyak RM20,000,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, bagi meluluskan permohonan tersebut mangsa diminta membuat beberapa transaksi. 

“Mangsa memasukkan RM680 ke dalam akaun CIMB di atas nama Nurulainey dan RM1,000 atas akaun sama untuk proses akaun semasa.

“Selain itu, mangsa juga memasukkan RM2,000 kekaun Hong Leong Bank atas nama Teo Hua Huat dan kemudiannya diminta memindahkan RM3,000

untuk tujuan sama tetapi mangsa mula rasa curiga,” katanya.

Menurutnya, mangsa rugi RM3,680 kerana terpedaya  dengan tawaran pinjaman tidak wujud tersebut. 

“Apabila merasa tertipu, mangsa membuat laporan polis di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Temerloh.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun  Keseksaan,” katanya.

Artikel Menarik:

'Canteknya' - Enam pelajar ini terkejut dapat pujian daripada Raja Permaisuri Agong

Berkat kegigihan tiga guru ini, pasukan bola dari sekolah di tengah belantara muncul juara MSSD

"Berehatlah muridku..."- Catatan hati guru arwah Mejar Zahir ini buat ramai sebak

Ramai meremang dengar suara merdu dua cikgu cantik dari Kuala Pilah ini