KOTA BHARU - Bulan Ramadan ini membawa kelainan bagi sekumpulan 26 pelajar dari Program Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji apabila mereka diberi projek membuat biskut raya.

Jika tahun sebelum ini para guru membuat biskut dan diagihkan kepada pelajar mereka pada hari terakhir persekolahan sebelum Aidilfitri, namun kali ini pelajar sendiri berpeluang membuat sendiri biskut raya mereka.

Semua pelajar program spa ini dibimbing oleh dua guru mereka K.A Razhiyah dan Suriyati Hamzah.

Projek itu adalah kemahiran manipulatif untuk menggerakkan motor halus semua pelajar berkenaan yang terdiri daripada pelbagai kategori OKU.

Tiga biskut dipilih

Suriyati yang juga Guru Cemerlang Pendidikan Khas berkata, perancangan itu dbuat sebelum Ramadan lagi dan mereka mula mencari resipi terbaik untuk memudahkan pelajar mereka membuat biskut.

Katanya, semuanya langkah pembuatan biskut telah diajarkan dari mula campuran bahan, menguli, membentuk dan seterusnya membakar akan dipantau oleh guru.

“Pelajar mula membuat biskut pada Ramadan kedua dan biskut yang kita pilih ialah biskut florentine, tat dan almond. Setiap balang biskut ini dijual dengan harga RM22 sahaja.

“Setiap hari kami luangkan empat jam untuk membuat biskut ini dan tat adalah yang terakhir kita akan buat nanti,” katanya ketika sidang akhbar semalam.

Suriyati berkata, setakat ini mereka telah menerima 50 balang tempahan termasuk tempahan koperasi sekolah dan rakan-rakan mereka.

Nur Shazwani (kiri) bersama rakannya Nur Shaidatul Syazwani Mohamad, 18, dan Nur Fatihah Ismadi, 18,sedang membuat biskut florentine.

Bimbingan untuk pelajar berdikari

Bagi Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019, K.A Razhiyah pula, beliau percaya semua pelajar mampu melakukan apa sahaja dengan bimbingan orang sekeliling mereka.

Katanya, projek biskut raya itu bukan sesuatu yang mustahil walaupun seorang pelajar tidak pernah memasak di rumahnya.

“Kita perlu berikan dorongan dan jangan manjakan mereka hingga merosakkan. Ada pelajar yang beritahu saya dia balik rumah hanya makan, mandi, tidur dan solat sahaja. Tak pernah disuruh buat apa-apa dengan alasan bimbang kalau pegang pisau akan cedera.

“Ibu bapa tak boleh asuh anak begitu kerana mereka manusia biasa yang boleh dilatih. Mereka ada nafsu juga suatu hari nanti mungkin akan kahwin dan perlu uruskan rumah tangga sendiri,” jelasnya.

Justeru katanya, selepas Aidilfitri nanti pihaknya merancang untuk membuat sesi memasak sebelum kelas bermula dan setiap orang akan berpeluang belajar cara memasak menu berbeza setiap hari.

Abdul Hafiz Huzairimi (tengah) bersama rakannya Mohamad Zaim Zakuan (kanan) mengumpulkan biskut yang siap dimasak.

Pelajar teruja buat biskut

Sementara itu, Pengetua SMK Panji, Sharifah Nor Arinawati Long Ibrahim berkata, beliau amat berbangga dengan kreativiti yang dicetuskan oleh guru-guru Pendidikan Khas.

Katanya, projek itu berhasil menarik minat pelajar untuk hadir ke sekolah dan memeriahkan mood raya pelajar berkenaan.

“Guru –guru kita buat projek luar biasa tahun ini, saya ingatkan mereka fokus kepada spa sahaja.

“Projek ini bagus beri kemahiran tambahan kepada pelajar dan mereka buat luar biasa tahun ini ingatkan fokus kepada spa sahaja, tetapi projek ini memberi nilai tambah kepada mereka. Memang amat membanggakan dan mereka sering mengharumkan sekolah dengan beberapa projek lain sebelum ini,” katanya.

Bagi seorang pelajar, Nur Syazwani Suhaimi, 15, dia amat gembira apabila dapat membuat biskut raya bersama kawan sekelasnya.

“Saya paling suka buat tat nanas. Sebelum ini saya tak pernah buat biskut raya dan kadang-kadang sahaja pernah masak di rumah,” kata anak kedua daripada lima beradik ini.

Sharifah Nor Arinawati (empat kanan) beramah mesra dengan pelajar yang membuat biskut raya.

K.A Razhiyah (kanan) bersama Suriyati (dua kiri) memerhatikan pelajar mereka membuat bancuhan bahan untuk biskut florentine.

 

Artikel lain:

Bahagian akhir kisah kembar Ahmad buat Ustaz Malik buka mulut siapa sebenarnya yang suka mengganggu

Rasai kelainan ke Tanah Suci dengan YGMB Travel - Percuma beg besar, galas dan beg pelbagai guna

'Peningkan nak cuti raya' - Ini jadual pekeliling dari KPM

Kehilangan murid Tahun Dua masih misteri - Tak bawa wang , tak pernah hilang sebelum ini

Impian jadi pendakwah berkecai - Anak pengawal keselamatan SK Baroh Pial perlu bantuan