TEMPOH sembilan bulan mungkin terlalu singkat untuk mengenali dengan lebih rapat sebilangan besar pelajar di sekolah.

Namun bagi Cikgu Ahmad Farizan Bahaman, selama sembilan bulan itu, hubungan bersama pelajar dan ibu bapa cukup akrab sekali.

"Kerana itu, bila perkhidmatan terakhir saya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inderapura, Jerantut, Pahang 24 Julai lalu, saya cukup sedih dan menangis.

"Saya sayangkan mereka seperti anak sendiri. Selepas ini, saya pasti akan merindui mereka," kata Cikgu Ahmad Farizan selaku Guru Penolong Pendidikan Khas di sekolah berkenaan.

Akan bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri, Pahang tidak lama lagi, Cikgu Ahmad Farizan sempat berkongsi satu kisah menarik yang cukup memberi bermakna buat dirinya.

"Kisah seorang penjaga, Suwoyo Morsudi yang menghadiahkan 'sesuatu' buat saya pada 24 Julai lalu.

"Pemberian ini akan saya kenang hingga hujung usia," ujarnya.

Ikuti perkongsian beliau.      

**********

Hadiah Yang Istimewa

Saya Seorang Cikgu Pendidikan Khas

 

Inilah kebahagiaan untuk kami.

Inilah keseronokan untuk kami.

Inilah kecemerlangan yang sebenar bagi kami.

Bukan A yang kami cari.

Cukuplah dan memadailah kalian boleh mengurus diri walaupun hanya sekadar memakai kasut sendiri.

Hari ini merupakan hari terakhir berkhidmat di sekolah ini. Dikejutkan dengan kehadiran seorang penjaga kepada anak istimewa kami (Nur Azwani Ismail, 16). Beliau datang membawa hadiah, hadiah yang paling “istimewa” pada hari terakhir bertugas di sini.

"Cikgu, terima kasih kerana didik dan jaga anak pak cik. Pak cik tiada apa yang nak bagi pada cikgu sebagai tanda terima kasih. Hanya jagung ini sebagai hadiah dan tanda terima kasih dari pak cik untuk cikgu."

Siapa pun kita, guru apa pun kita. Matlamat kita tetap sama iaitu supaya satu hari nanti para pelajar kita menjadi orang yang berguna hendaknya.

Artikel menarik:

Guru teruja terima jambangan sayur bayam, ini cara Cikgu Donze raikan rakan pendidik…

'Macam-macam jumpa, kadang-kadang dah anggap seperti perkara biasa' - Guru luah apa yang dilalui