Kebelakangan ini sering dimuatkan dalam ruangan akhbar tentang kebimbangan pelbagai pihak berkait kualiti pendidikan yang diperolehi oleh murid dan pelajar lanjutan pelaksanaan sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Kebimbangan tersebut sememangnya berasas apabila memikirkan bahawa lebih daripada 90 peratus murid di negara ini tidak mempunyai alat untuk pendidikan secara digital, seperti yang dilaporkan oleh Profesor Jomo Kwame Sundaram.

Di Terengganu baru-baru ini, sepuluh buah sekolah rendah ditutup ekoran 21 orang gurunya disahkan positif Covid-19 setelah menghadiri bengkel persiapan pengajaran dan pembelajaran (PdP) atas talian yang dianjurkan secara bersemuka.

Penularan wabak berbahaya ini sememangnya menjadi satu tamparan hebat bagi setiap pihak yang terlibat dalam menyediakan pendidikan buat para pelajar.

Ini kerana, dalam pada keselamatan dan kesihatan setiap individu perlu diutamakan, mendapatkan pendidikan yang berterusan juga merupakan sesuatu yang tidak boleh diabaikan.

Sejajar dengan saranan Sustainable Development Goals (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang meletakkan aspek kesihatan dan kesejahteraan yang baik sebagai matlamat ketiga, dan pendidikan berkualiti sebagai matlamat keempat, kedua-dua perkara ini harus dicapai bagi memastikan kelestarian masyarakat terpelihara.

Namun, apabila berlakunya pandemik global yang diumumkan pada bulan Mac 2020 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ini, keputusan yang sukar perlu diambil sama ada ingin meletakkan matlamat ketiga ataupun matlamat keempat sebagai keutamaan.

Bagi membantu mengatasi dilema ini, penulis berpandangan ada kemungkinan kita tidak perlu memilih di antara kedua-dua kepentingan ini. Bagaimana jika jawapannya terletak pada kreativiti kita menggabung kedua-dua matlamat ini? Mungkinkah jawapannya ada pada perubahan radikal dalam pengurusan kelas atau bilik darjah di sekolah-sekolah? Mari kita lihat Model Pengasingan Kelas yang boleh dipraktikkan di sekolah.

Seperti yang penulis tunjukkan dalam Jadual 1, kaedah penyusunan kelas menggunakan model konvensional memerlukan para pelajar untuk hadir ke sekolah pada waktu yang sama, dan mengikuti kelas yang dikendalikan oleh beberapa orang guru, secara bergilir setiap hari.

Ini bermakna, walaupun pihak sekolah melaksanakan tindakan seperti mewajibkan pelajar kekal di dalam kelas termasuk pada waktu rehat, kontak antara pelajar dari kelas yang berlainan tetap terbina melalui guru-guru yang secara bergilir memasuki kelas-kelas berkenaan.

Ini menjadikan potensi jaringan kontak yang terbina di sesebuah lokasi sekolah adalah sangat luas, sehingga tidak terjangkau oleh perkiraan kasar.

Bagi tujuan mendapatkan gambaran tentang bagaimana jaringan kontak boleh terbina, berikut ditunjukkan perkiraan asasnya.

Bilangan kontak = Σ(X-n), n=0,1,2,3,.......,X-1

Jika X = 25, bilangan kontak = Σ(25-n), n=0,1,2,3,.......,24 = 325

Jika X = 50, bilangan kontak = Σ(50-n), n=0,1,2,3,.......,49 = 1,275

Jika X = 150, bilangan kontak = Σ(100-n), n=0,1,2,3,.......,149 = 11,325

Berdasarkan contoh perkiraan di atas, apabila Guru Z memasuki Kelas A yang mempunyai 25 orang pelajar, dia bukannya berisiko menerima jangkitan menerusi 25 kontak yang berasingan. Sebaliknya, guru tersebut berkemungkinan mendapat jangkitan yang dipindahkan menerusi 325 jaringan kontak.

Kemudian, apabila Guru Z tadi memasuki Kelas B yang terdiri daripada 25 orang pelajar lain, maka dia akan menjadi penyambung kepada jaringan kontak dalam Kelas A dan Kelas B. Ini menjadikan jumlah jaringan kontak keseluruhan bagi 2 kelas ini melonjak menjadi sebanyak 1,275.    

Apabila pelajar dari enam buah kelas saling dihubungkan melalui guru-guru yang secara bergilir memasuki kelas-kelas mereka, maka jumlah jaringan kontak yang terbina dalam kalangan enam buah kelas berkenaan adalah sebanyak 11,325.

Angka di atas menggambarkan ketinggian risiko penularan, hanya dengan salah seorang guru atau pelajar didapati positif Covid-19. Lebih memburukkan keadaan jika pembawanya tidak menunjukkan sebarang simptom ketika dijangkiti.

Tindakan susulan yang lazim diperhatikan apabila terdapat kes positif di sesebuah lokasi adalah dengan meletakkan kesemua individu yang berada di dalam jaringan kontak rapat tersebut di bawah kuarantin.

Situasi ini amat merugikan kerana begitu ramai pelajar akan kehilangan peluang untuk mengikuti pembelajaran walaupun sebenarnya mereka tergolong dalam kategori generasi ketiga, keempat atau mungkin kelima jangkitan berkenaan.

Justeru, apa yang ingin ditekankan di sini adalah, semakin kecil bilangan jaringan kontak yang terbina, maka semakin kurang pembaziran peluang pembelajaran akan berlaku.

Untuk itu, penulis menyarankan pengurusan kelas seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2.

Berdasarkan penyusunan seperti dalam Jadual 2, pelajar dalam sesebuah kelas hanya akan bertemu dengan seorang guru dalam tempoh masa setiap dua minggu.

Waktu dan laluan untuk para pelajar masuk ke perkarangan sekolah dan keluar dari perkarangan sekolah juga diasingkan bagi mengurangkan pertembungan dengan pelajar dari kelas lain.

Tempoh dua minggu yang ditetapkan adalah selaras dengan tempoh di mana jangkitan boleh berlaku dari seorang pesakit Covid-19 kepada individu lain.

Melalui Model Pengasingan Kelas ini, jaringan kontak yang wujud di sekolah tersebut adalah dalam bentuk jaringan-jaringan kecil yang bersaiz 325 setiap satunya.

Oleh kerana pelajar dari kelas yang berbeza tidak dihubungkan oleh guru yang memasuki kelas mereka, maka tidak wujud jaringan kontak luas yang bersaiz mencecah 11,325.

Sekiranya terdapat satu kes positif dalam mana-mana kelas, maka hanya 25 orang pelajar dari kelas tersebut yang perlu menjalani saringan ataupun kuarantin.

Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos saringan dan pada masa yang sama mengelakkan pembaziran peluang untuk belajar dalam kalangan pelajar yang tidak terlibat.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Dari segi tempoh masa yang diperlukan untuk membentuk bilangan jaringan kontak yang sama, susunan kelas menggunakan model konvensional seperti dalam Jadual 1 akan membentuk 11,325 jaringan hanya dalam masa satu hari.

Sebaliknya, susunan berdasarkan Model Pengasingan Kelas mengambil masa selama tiga bulan untuk menghubungkan kesemua 150 orang pelajar menerusi kontak yang dihubungkan oleh para guru.

Seperkara lagi yang ingin ditekankan ialah, susun atur kelas seperti dalam Jadual 2 tidak langsung mengurangkan jumlah topik yang dipelajari oleh setiap pelajar.

Sebagai contoh, sekiranya satu masa pembelajaran (1 jam) bersamaan dengan satu topik, dalam masa tiga bulan, jumlah topik yang dipelajari adalah seperti berikut:

4 topik x 10 hari kelas bersemuka bagi subjek wajib = 40 topik

40 topik x 6 subjek wajib = 240 topik wajib

2 topik x 10 hari PdPR bagi subjek pilihan = 20 topik

20 topik x 6 subjek pilihan = 120 topik pilihan

Jumlah keseluruhan topik = 240 + 120 = 360

Jika dibandingkan dengan jadual waktu konvensional,

3 topik x 12 minggu = 36 topik (berdasarkan perkiraan di mana satu subjek wajib diperuntukkan sebanyak 3 masa pembelajaran dalam seminggu)

36 topik x 6 subjek wajib = 216 topik wajib

2 topik x 12 minggu = 24 topik (berdasarkan perkiraan di mana satu subjek pilihan diperuntukkan sebanyak 2 masa pembelajaran dalam seminggu)

24 topik x 6 subjek pilihan = 144 topik pilihan

Jumlah keseluruhan topik = 216 + 144 = 360

Apa yang membezakan kedua-dua kaedah ini adalah kaedah yang di atas menggunakan pendekatan pembelajaran intensif, manakala kaedah yang di bawah menggunakan pendekatan komprehensif.

Kini, persoalan yang masih tertinggal adalah bagaimana untuk memastikan pelajar tidak berasa bosan mempelajari satu subjek yang sama di bawah bimbingan seorang guru yang sama selama 10 hari berturut-turut.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Penulis ingin mencadangkan supaya perkara ini dilihat sebagai satu peluang dan bukannya sebagai satu ancaman.

1) Jumlah masa yang lebih tertumpu dan panjang membolehkan pelbagai aktiviti pembelajaran dilaksanakan di dalam kelas.

Berbanding dengan peruntukan masa selama satu jam setiap hari, empat jam yang diperuntukkan setiap hari tersebut boleh dimanfaatkan dengan melaksanakan lebih banyak kaedah pembelajaran berpusatkan pelajar (students-centered learning).

2) Proses memantau perkembangan dan prestasi setiap individu pelajar menjadi lebih mudah kerana guru ditempatkan bersama dengan satu kumpulan pelajar sahaja dalam satu tempoh masa.

Berbanding dengan situasi di mana seorang guru perlu memantau perkembangan pelajar dari enam kelas yang berbeza dalam satu masa, pendekatan ini dirasakan dapat meringankan beban guru serta memberi kesempatan untuk mewujudkan ruang komunikasi yang lebih banyak dengan pelajar-pelajar yang memerlukan.

3) Pendekatan ini dilihat berpotensi membawa sistem pendidikan di negara ini ke satu lagi tahap perkembangan, iaitu daripada pendidikan berorientasikan peperiksaan (exam-oriented education) kepada pendidikan berorientasikan kualiti (quality-oriented education).

Dengan pelbagai kelebihan yang ditawarkan, Model Pengasingan Kelas diharap bukan sahaja menjadi penyelesaian kepada masalah pengurusan kelas dan bilik darjah sewaktu musim penularan wabak, tetapi turut menjadi pemangkin kepada perubahan radikal yang mampu membawa lebih banyak manfaat kepada sistem pendidikan di Malaysia, baik dalam jangka masa pendek mahu pun panjang.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Asia Timur, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Artikel menarik

'Ayah cakap nak beli komputer riba, tapi tak sempat. Rehatlah ayah, moga tenang di sana'

Biar semakin mencabar, perguruan tetap jadi pilihan