Guru Cemerlang Sains, SMK Jerlun, Kedah, Norhailmi Abdul Mutalib, 39, sekali lagi melakar kejayaan di peringkat dunia apabila tersenarai dalam kelompok 50 calon penerima Guru Global 2020 yang dijangka bakal diadakan pada Oktober ini di London, bersempena sambutan Hari Guru Antarabangsa pada tahun ini.

Menariknya, Hadiah Guru Global merupakan suatu pengiktirafan berprestij setanding Hadiah Nobel buat guru-guru di seluruh dunia.

Sudah pasti gelaran dan pengikhtirafan itulah yang dinanti-nanti oleh guru yang terpilih dalam senarai finalis 50 utama Hadiah Guru Global 2020.

Pertandingan yang dianjurkan Yayasan Varkey sejak 2015 itu menyediakan hadiah wang tunai amat lumayan iaitu AS$1 juta (RM4,3 juta).

Guru asal Perlis dan pernah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Ahmad Musa Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau itu, ketika dihubungi

GPS Bestari berkata, penantiannya selama lima tahun misi bergelar finalis Guru Global akhirnya tercapai.

 Pengetua SMK Jerlun, Siti Rubiah Md Arshad (tengah) bersama Cikgu Norhailmi (tiga dari kanan) ketika aktivti debat Teknologi Hijau ala Parlimen di sekolah.

“Saya panjatkan rasa syukur kepada ALLAH SWT, atas kurniaan nikmat yang tak terhingga. Rasa gembira kerana berjaya membawa martabat guru-guru Malaysia ke persada global. Ini bukti, guru-guru kita juga sama hebat dan berkualiti, setaraf guru negara lain,” katanya.

Beliau yang pernah dinobatkan sebagai Naib Johan Adiwira PAK-21 menerusi Pertandingan Kempen Guru PAK-21 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Unit Pelaksanaan Prestasi Pendidikan (PADU) sebelum ini juga tidak menyangka dapat melepasi dengan jayanya beberapa saringan ketat pemilihan.

“Bukan mudah untuk bersaing dengan 12,000 penyertaan untuk Hadiah Guru Global 2020. Apatah lagi ini merupakan permohonan saya kali ke-lima setelah gagal beberapa kali sebelum ini.

Cikgu Norhailmi (tengah) ketika melakukan aktiviti PdPc di luar bilik darjah.

“Tapi saya bersyukur sebab dipertemukan dengan ramai insan hebat yang sentiasa membantu dan memberi bimbingan. Antaranya, Finalis 50 Utama Guru Global 2016 dan 2019, Cikgu Noorjahan Sultan dan Dr Muhammad Khairul Anuar Hussin, yang sentiasa percaya dengan kebolehan saya,” katanya.

Bercerita lanjut, beliau perlu menyediakan 10 esei berjumlah 300 patah perkataan berkaitan tugas sebagai guru di sekolah.

“Saya perlu nyatakan apakah inovasi saya dalam kelas, isu saya dengan murid di SMK Jerlun, sumbangan kepada komuniti dan banyak lagi," katanya.

Cikgu Norhailmi memberitahu, bagi menghasilkan esei yang bermutu beliau bekerjasama dengan dua beradik kembar, iaitu Guru Matematik, Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, Azrul Arefe dan Azrul Afeze Ahmad Rosdi yang merupakan guru bahasa Inggeris di SMK Keladi, Kulim, Kedah, untuk menyemak esei beliau.

Persediaan

Kongsi Guru Ikon Guru STEM Kebangsaan 2017 itu lagi, tahun sebelumnya juga beliau hampir terpilih menjadi finalis setelah berjaya melepasi saringan kedua, iaitu sesi temu bual secara maya.

 Hubungan akrab dengan pelajar mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih selesa

Namun disebabkan kurang pengalaman dan persediaan, beliau gagal untuk ke peringkat seterusnya.

“Saya reda dengan kegagalan sebelum ini dan tambah baik apa yang kurang di samping bersedia dengan apa jua soalan yang diberikan kepada kami. Kali ini, soalan berbeza sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Antara soalan yang diberikan kepada kami adalah cabaran sebagai guru, pendekatan mengajar, inovasi dalam kelas, pencapaian dalam bilik darjah, impak kepada komuniti, global 'citizen', sumbangan anda dalam profesyen keguruan, pengiktirafan dan anugerah selain jika menang, nak guna duit untuk apa?,” katanya.

Bercerita lanjut tentang pemilihan itu, beliau mula menghantar penyertaan pada bulan Oktober dan tarikh tutup adalah pada 15 Oktober 2019.

Selang dua bulan, iaitu pada 21 Disember 2019 barulah beliau menerima emel daripada Yayasan Varkey yang memerlukan beliau menjawab beberapa soalan tambahan.

“Agak pelik juga sebab tahun sebelumnya 'interview' dulu, baru isi soalan ini. Tapi rasa gembira jugalah, sekurangnya ada maklum balas daripada mereka. Kali ini saya perlu emelkan semula jawapan sebelum 7 Januari 2020.

“Seminggu selepas tarikh tutup, datang pula emel menyatakan bahawa akan ada sesi 'interview' pada 20 Januari 2020. Masa ini memang saya trauma, sebab punca saya gagal tahun lepas adalah sebab sangkut masa 'interview'lah,” katanya.

Pun begitu, pengalaman dan kegagalan lalu bukanlah halangan utama.

Beliau pernah menyertai Program Guru Angkasa Antarabangsa bersama NASA di Pusat Roket dan Angkasa Lepas, Amerika Syarikat pada September 2018 dan sentiasa berazam untuk berusaha menjadi lebih baik daripada hari semalam.

“Akhirnya pada 20 Januari 2020, jam 11.30 malam waktu Malaysia, maka berlangsunglah sesi interview secara maya dengan pihak Yayasan Varkey.

"Waktu itu saya memang sudah bersedia lebih awal dengan 'earphone' supaya dapat dengar soalan mereka dengan jelas.

“Maklumlah English mereka boleh tahan, saya perlu fokus untuk mudahkan saya menjawab segala soalan mereka. Jika pada tahun lepas, hanya seorang sahaja yang temubual saya tapi kali ni saya perlu berdepan dengan dua orang juri dalam satu masa," katanya.

Lebih istimewa, kata beliau, salah seorang juri masih mengenali beliau membuatkan sesi temubual menjadi lebih mudah.

Beliau mula rasa selesa dan tidak lagi gemuruh, tambahan pula soalan yang dikemukakan lebih kurang sama dengan tahun lalu.

Peluang itu digunakan sebagainya untuk berkongsi projek terbaharunya yang dilakukan di sekolahnya, kerja advokasi dalam mempromosikan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di seluruh negara.

Masa yang dinanti pun tiba, selepas tiga minggu ditemubual setiap hari selama setengah jam, pemegang ijazah Sarjana Muda Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia ini akhirnya terpilih salah seorang finalis 50 Utama Guru Global 2020.

“Saya mendapat jawapan menerusi emel sekitar jam 1 pagi. Waktu itu hanya air mata sahaja yang mampu mengalir. Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan saya pada saat itu.

“Semua perasaan menerpa sekali gus, seolah-olah berakhirnya suatu penantian yang sekian lama saya nantikan. Tarikh keramat, 19 Mac 2020 menjadi saksi saya diumumkan finalis Top 50 Global Teacher 2020,” katanya.

Cinta berputik

Menyorot kembali pembabitannya dalam dunia pendidikan, beliau yang pernah meraih pelbagai pencapaian itu tidak menyangka, pengalaman menjadi guru ganti sementara menanti peluang pekerjaan telah membuatkan beliau tekad menukar haluan.

“Selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia, atas dorongan kakak saya, Cikgu Norzuraini yang juga seorang guru Sejarah di SMK Syed Alwi, Perlis, saya menjadi guru ganti di beberapa buah sekolah.

"Antaranya Sekolah Menengah Teknik Arau, SMK Seriab dan Sekolah Menengah Teknik Kangar," katanya.

Kongsi beliau, pengalaman pertama kali menjadi seorang guru, membuahkan rasa cinta dan minat kepada bidang itu.

Ditambah pula beliau berpeluang berkenalan dengan seorang guru hebat dan disenangi murid, Cikgu Salleh, seorang guru Matematik Tambahan di SM Teknik Arau.

Menurut beliau, perasaan kekok ketika mengajar pada awalnya mulai hilang setelah melihat pencapaian pelajar bertambah baik.

Cintanya mula berputik dalam kerjaya itu sehingga mendorong beliau untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).

Kini masuk 14 tahun beliau mengajar subjek Sains, ternyata Cikgu Norhailmi mempunyai cara tersendiri memupuk minat pelajar kepada subjek yang diajar.

Bagi beliau, seorang guru itu haruslah mempunyai kemahiran mengawal dan menguruskan kelas selain membina hubungan baik dengan murid menerusi lawak jenaka, ambil berat dan selalu memberi penghargaan.

“Namun, dalam masa sama, kita perlukan tegas dalam mengurus masalah yang mungkin wujud. Jika nak marah atau menghukum, buatlah dengan kasih sayang, bukan dengan kebencian.

"Prinsip saya, nak buat pelajar suka subjek saya, biar mereka suka saya dulu,” ulasnya.

Tambah Cikgu Norhailmi lagi, teknik pembelajaran tidak hanya terhad di dalam kelas.

Seorang guru itu haruslah kreatif dan sentiasa membuat pembaharuan agar pelajar tidak bosan di dalam kelas.

“Saya sukakan pembelajaran yang lebih terbuka dengan pelajar. Kebebasan kepada pelajar menentukan apa yang mereka belajar menampakkan lebih banyak kreativiti dalam aktviti pengajaran.

“Sebagai contoh bagi pembelajaran tajuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, pelajar sendiri akan mengajak saya untuk melawat ke hutan paya bakau yang ada di sekitar kampung mereka," katanya.

Pembelajaran seperti itu sudah tentulah memberikan mereka  suatu pengalaman berbeza, menerusi pendekatan terbaik, mereka berkemahiran menyelesaikan masalah setempat dengan hujah yang di luar jangkaan.

Profil

Nama penuh: Norhailmi Abdul Mutalib

Jawatan: Guru Cemerlang Sains

Umur: 39 tahun

Asal: Perlis

Sekolah: SK Dato Ahmad Musa, SMK Agama Arau

Pendidikan:

Universiti Sains Malaysia [2005] – Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia

IPG Kampus Pulau Pinang [2006] – Diploma Pendidikan (Kimia)

Sekolah pernah berkhidmat:

1. SMK Luar Bandar No 1 Sibu, Sarawak

2. SMK Jerlun, Kedah

Pencapaian:

1. Guru Malaysia pertama terpilih mengikuti Kursus Guru Antarabangsa di CERN, Pusat Nuklear Eropah di Geneva, Switzerland, 2019

2. Guru Adiwira Kebangsaan 2019

3. Naib Johan Guru Adiwira PAK21 2019

4. Mengikuti Program Angkasa Guru Antarabangsa bersama NASA di Pusat Roket dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat, 2018

5. Guru Sains Terbaik Malaysia oleh SEAMEO bagi Anugerah Ki Hajar Dewantara 2018

6. Ikon Guru STEM Kebangsaan 2017

7. Ejen Transformasi Kebangsaan 2014

 

Pemenang Anugerah Hadiah Guru Global  

2015

Nama: Nancie Arwell

Negara: Maine, Amerika Syarikat

2016

Nama: Hanan Hroub

Negara: West Bank, Palestin

2017

Nama: Maghie MacDonnell

Negara: Quebec, Kanada

2018

Nama: Andria Zafirakou

Negara: London, England

2019

Nama: Peter Tabichi

Negara: Nakuru, Kenya

 

Finalis 50 Utama Guru Global dari Malaysia

2015

Nama: Yasmin Noorul Amin

Sekolah: SMK La Salle, Petaling Jaya, Selangor

2016

Nama: Noorjahan Sultan

Sekolah: SK Indera Mahkota Utama, Kuantan, Pahang

Nama: K Vanesri

Sekolah: SJKT Jalan Khalidi, Muar, Johor

2017

Nama: Mohd Sirhajwan Idek

Sekolah: Kolej Vokasional Keningau, Sabah

2018

Nama: K A Razhiyah

Sekolah: SMK Panji, Kelantan

2019

Nama : Dr Muhamad Khairul Anuar Hussin

Sekolah: SMK Taman Universiti 2, Skudai, Johor

2020

Nama: Norhailmi Abdul Mutalib

Sekolah: SMK Jerlun, Ayer Hitam, Kedah

Nama: Samuel Isaiah

Sekolah: SK Runchang, Muadzam Shah, Pahang

Artikel lain:

Sempena cuti Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh buat ini manfaat masa

PM umum Perintah Kawalan Pergerakan tapi cikgu ini pula yang pening

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

'10 topik Sains wajib ulang kaji ketika ini' - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Pengetua SMKA Naim Lilbanat kongsi tip lonjak keputusan SPM 2019 - Boleh jadi panduan sekolah lain