DENGAN hanya kos RM200 hasil inovasi rawatan air Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, Kuala Terengganu yang dinamakan Pads-Clay memukau dunia hingga mengalahkan 600 pasukan lain dari 100 buah negara dalam pertandingan 11th European Exhibition of Creativity and Innovation di Romania pada 16 Mei lalu.

Guru pengiring yang juga Guru Sains, Wan Salasiah Wan Sulaiman berkata, idea untuk menghasilkan penapis air daripada tanah liat dan jerami padi itu dicetuskan guru dan pelajar setelah berbincang.

“Memandangkan Terengganu negeri pengeluar batik, kami memutuskan untuk menghasilkan sesuatu yang boleh menyumbang kepada industri dan menjaga alam sekitar.

“Kami mengambil masa selama tiga bulan untuk menghasilkan Pads-Clay daripada bahan terbuang seperti tanah liat dan jerami padi,” katanya.

Menurut beliau, lima pelajar dengan dibantu guru melakukan proses mengisar dan mengadun tanah liat serta jerami padi sebelum dihasilkan papan penapis.

Artikel berkaitan: Tahniah! SMK Panji Alam takluk Eropah gondol empat anugerah utama tewaskan pasukan dari 100 negara

 

SMK Panji Alam mengharumkan nama negara dengan menggondol empat anugerah. Dari kanan: Wan Salasiah; Muhammad Ajwad; Nur Salsabila; Siti Nabila: Che Engku Noor Aien; Rushdina Sofea (pembentang); Abi Aamar dan Mohd. Noor Shamsulainee.

Penapis ini akan digunakan untuk merawat air buangan dari industri pembuatan batik yang mengandungi bahan kimia akibat penggunaan pewarna kain.

“Pads-Clay akan merawat air menerusi tiga proses penapisan melalui skil ‘up and down’ dan air yang dihasilkan melalui kaedah ini dikategorikan sebagai kelas 2 serta selamat diguna semula oleh industri selain tidak menjejaskan alam sekitar sekiranya dilepaskan,” katanya. Menerusi inovasi ini kontinjen negara menerima empat anugerah iaitu Gold Medal Award Euroinvent, Special Award Corneliu Group Romania, Special Honour of Toronto Invention Society Canada dan Special Prize Award Euroinvent.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, kejayaan itu cukup membanggakan bukan sahaja bagi Terengganu, tetapi untuk negara.

“SMK Panji Alam yang sebelum ini dikelaskan sebagai sekolah harian biasa bertukar sebagai sekolah yang membanggakan negara apabila mengalahkan 600 pasukan yang bertanding.

“Mereka telah membuktikan dengan keazaman yang kuat dan usaha berterusan, mereka boleh berjaya.

“Berdepan dengan pelbagai kesukaran, termasuk bertanding pada bulan Ramadan dan menghadapi masalah mendapatkan makanan halal, tapi demi ingin memartabatkan pendidikan negara, mereka berjaya mengharunginya dan melakukan yang terbaik,” katanya.

Pasukan inovasi itu terdiri daripada lima pelajar, iaitu Rushdina Sofea Rushdan, Siti Nabila Syahirah Roslan, Nur Salsabila Abdul Rahman, Muhammad Ajwad Mohd Zamri dan Abi Aamar Arshad.

Mereka turut diiringi dua guru pengiring, Cikgu Wan Salasiah dan Guru Kimia Mohd. Noor Shamsulainee Othman serta Pengetua Che Engku Noor Aien Che Engku Mahmood bertindak sebagai ketua kontinjen.

Kesemua mereka sebelum ini berlepas ke Romania bagi menyertai pertandingan itu yang berlangsung pada 16 hingga 18 Mei di Palace Culture, Iasi, Romania.

Kontinjen negara tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, 22 Mei lalu.

Hadir menyambut kepulangan mereka, Pengarah JPN Terengganu, Shafruddin Ali Hussin; ADUN Batu Burok Muhammad Khalil Abdul Hadi; pegawai JPN Terengganu; pegawai PPD Kuala Terengganu dan Pengerusi Alumni SMK Panji Alam Adnan Salleh.

Turut hadir, Pengetua Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, [email protected] Mohamed dan Yang Dipertua PIBG Azlee Ismail Ab Rashid.

Pencapaian SMK Panji Alam

1. Gold Medal Award Euroinvent 2019

2. Special Award Corneliu Group Romania 2019

3. Special Honour of Toronto Invention Society Canada 2019

4. Special Prize Award Euroinvent 2019

5. Anugerah emas World Young Inventors Exhibition 2019

6. Johan peringkat kebangsaan Breakthrough Invention Innovation & Design Exhibition 2018

7. Pingat gangsa International Invention and Innovative Competition 2018

Tanah liat yang dipilih untuk menghaslkan Pads-Clay.

Tanah liat yang telah siap dikisar halus.

Jerami padi dikisar untuk mendapatkan tekstur yang halus.

Pelajar ini mengadun jerami padi dan tanah liat sambil dipantau guru.

Proses membentuk Pads-Clay

Sistem penapis air Pads-Clay menggunakan skil ‘Up and Down’ untuk merawat air sisa industri pembuatan batik.

Artikel menarik:

Pernah dirotan dan ditampar guru... kini siapa sangka Firdauz dadai 'orang kuat' sekolah

Walau terpaksa tahan sakit, ditahan lapan hari di wad... guru ini tetap tanda kertas

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Wajib baca kepada yang ada adik beradik! Jangan 'share' jika tak habis baca

Hanya seminggu, murid tahun 2 ini susah mampu kuasai semua subjek... ini rahsia ibunya buat