KUANTAN - Seramai 5,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang mempunyai kelayakan akan dilantik ke jawatan tetap sejajar dengan usaha kerajaan membela kebajikan golongan guru tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, satu pasukan petugas khas ditubuhkan Oktober lalu bagi memantau isu itu selesai melakukan kajian yang dijangka dibentangkan Mac depan.

Menurutnya, setakat ini pasukan tersebut sedang mengumpulkan sijil guru Kafa dan dalam proses mengemas kini latar pendidikan mereka yang dapat memudahkan pihaknya melakukan pemilihan jawatan tetap sebagai guru Kafa.

"Kita jangka jumlah akan diserapkan bagi siri pertama adalah 5,000 orang, tetapi masih di peringkat pemilihan. Saya percaya proses ini akan selesai sebaik kajian itu disiapkan pada suku pertama tahun depan dan selepas ini akan ada guru Kafa diserapkan ke jawatan tetap," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Penutupan Program Kayuhan Prihatin Wakaf 2018 di Dewan Orang Ramai Kampung Cherok Paloh, di sini kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf, Profesor Datuk Dr Sudin Haron dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS), Profesor Datuk Dr Mohd Zubir Sheikh Saad.

Jumaat lalu Menteri Kewangan, Lim Guang Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 Jumaat lalu mengumumkan lantikan tetap akan ditawarkan kepada 3,000 daripada kira-kira 32,000 guru Kafa yang sedang berkhidmat di seluruh negara.

Fuziah sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa kebanyakan guru Kafa yang akan diserapkan ke jawatan tetap adalah mereka yang memiliki diploma dan ijazah dalam bidang berkaitan.

Katanya, bagi guru Kafa yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula akan diberi masa dua tahun untuk belajar sambil bekerja bagi melayakkan mereka dilantik secara tetap ke jawatan itu.