Shah Alam  - Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan belum ada perancangan untuk membuka sesi persekolahan kepada pelajar lain terutamanya di peringkat sekolah rendah.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimim Yahaya berkata, negara sekarang sedang berhadapan dengan satu senario yang kita tidak nampak.

“Kita tahu kita berhadapan dengan satu senario yang kita tak nampak dan berperang dengan sesuatu yang kita tak nampak. Adalah menjadi dasar keselamatan kita untuk memberi keutamaan kepada kelas peperiksaan.

Menurut beliau, bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin, KPM telah menjalankan simulasi kelas peperiksaan menggunakan kaedah terbaik

“Alhamdulillah simulasi kelas peperiksaan yang kita jalankan ini nampaknya berjalan lancar dengan menggunakan kaedah yang terbaik bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin,” katanya.

Katanya, ketika ini pihak kementerian telah mengadakan simulasi di Selangor untuk melihat pelaksanaan garis panduan pembukaan sekolah.

“Buat permulaan saya sudahpun turun di dua buah sekolah bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk melihat bagaimana susun atur jika sekolah ini kembali dibuka.

“Bagaimanapun, sebelum sesi persekolahan dibuka, kami akan memaklumkannya dua minggu lebih awal dan hanya kelas peperiksaan awam akan diberi perhatian seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini pembukaan sesi persekolahan selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan bantuan barisan hadapan daripada Majlis Guru Besar Selangor kepada Tabung Covid Sinar dan program Word #Quran Hour di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Muslimim berpendapat, pengajaran dan pembelajaran maya melalui platform dalam talian menjadi satu norma baharu yang kini mula diterima.

“Saya lihat proses ini sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan guru untuk mengamalkan kerja berkaitan dengan teknologi. Walaupun mereka bekerja dari rumah tetapi maklumat pengajian pembelajaran itu sampai kepada anak murid.

“Malah KPM juga mengambil inisiatif untuk membangunkan semula TV Pendidikan supaya akses kepada pembelajaran itu sampai kepada anak murid walaupun di mana mereka berada,” katanya.

Artikel berkaitan:

Selagi PnP boleh dilaksana, cikgu tak perlu bimbang jika berada di luar stesen bertugas

Teruskan PdP dari rumah, pastikan murid dapat ilmu - Timbalan Menteri Pendidikan II

Sekolah perlu rancang SOP sendiri, pastikan pelajar patuh jarak sosial

Cikgu boleh ikut SOP ini jika terima kunjungan bekas pelajar pada Aidilfitri

'Jumlah pelajar dalam kelas perlu dipecah dua, hanya 17 orang dalam satu kelas' - Dr Mohd Radzi