Guru bukan sahaja mendidik dan mengajar hal-hal akademik, tetapi juga membantu pelajar membina keyakinan dan jati diri untuk berdikari sendiri.

Seorang guru yang dikenali sebagai Mohd Izranuddin Jelani, berusia 41 tahun dan mengajar di SMK Tun Fatimah Hashim, Johor Bahru berkata, dia tidak menyangka minatnya dalam bidang pertanian dapat dikongsi bersama pelajar dan warga pendidik di sekolahnya.

Niatnya untuk melestarikan pertanian dalam sekolah bukan sahaja dilihat dapat meningkatkan kemahiran bertani dan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah, malah ia juga sebagai nilai tambah ilmu dan juga kemahiran, agar anak muridnya dapat belajar secara praktikal dan diguna pakai pada masa depan.

“Bertani bukan sahaja mendidik pelajar untuk lebih menghargai alam, tetapi juga memelihara dan memulihara. Ia hadir dengan sikap untuk lebih menjaga agar tanaman sentiasa sihat, segar dan membuahkan hasil yang banyak. Tambahan pula, menerusinya pelajar boleh mendapatkan wang tambahan hasil jualan tanaman. Ia sedikit sebanyak dapat mendidik pelajar menghargai usaha dan menebar semangat kebun dalam diri,”jelas guru Subjek Pendidikan Seni Visual tingkatan satu hingga lima ini.

Selain bertani, guru yang baru 11 tahun bergelar pendidik ini gemar menyertai aktiviti luar, berekreasi, melancong dan suka meneroka pelbagai disiplin ilmu. Bahkan turut aktif dalam kerja-kerja sosial di dalam dan luar sekolah terutama melibatkan program-program lestari dan kepengakapan.

Untuk merealisasikan impiannya melestarikan pertanian dalam sekolah, guru ini sebenarnya tidak keseorangan. Beliau turut dibantu oleh empat orang pelajar tingkatan satu dan seorang bekas pelajar tahun lepas.

Mereka yang terlibat itu adalah, Nur Fareez Iman Nor Azmi, tingkatan 1 Arif, Muhammad Syazwan  Muhammad Rizalman Naja, tingkatan 1 Akal, Mohamad Amir Aiman Ibrohim, tingkatan 1 Arif, Muhamad Haikal Mohd Rakimi, tingkatan 1 Amal dan Muhammad Ridhwan Roslan.

“Mereka banyak membantu kerja-kerja pertanian seperti menyemai benih, tanam, pembajaan, penjagaan, penuaian, pemasaran dan jualan sejak awal tahun. Penglibatan mereka pun sukarela. Boleh dikatakan, setiap hari mereka akan bertanya, ‘cikgu… ada kerja kebun ke hari ini?’. Ibu bapa mereka pun bagi sokongan penuh.

"Ada yang siap hantar anak-anak mereka ke sekolah setiap hari cuti Jumaat dan Sabtu. Paling tersentuh hati, dalam bulan Ramadan pun, mereka tetap datang sekolah hulurkan bantuan tanpa jemu,"ujar guru asal Johor Bahru ini.

Tambah beliau lagi, pelajar tersebut menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang pertanian. Ada sahaja yang akan ditanya ketika menyelesaikan tugasan. Malah, dalam beberapa bulan ini, beliau tidak lagi perlu menerangkan arahan secara terperinci, cukup hanya dengan pemantauan minimum sahaja.

Beli baju raya

Ditanya mengenai pembelian baju raya sempena lebaran, guru yang pernah memegang jawatan wartawan ini berkata, sudah lama menyimpan niat untuk menghargai jasa pelajar-pelajar yang membantu.

“Saya beruntung dapat anak murid yang sudi membantu walaupun, umum sesetengahnya memandang rendah bidang pertanian ini. Padahal bidang tersebut mampu untuk memberikan hasil lumayan, sekiranya kita betul-betul mahu berusaha dan rajin," katanya yang turut tidak lokek menghulurkan upah setiap kali tugasan selesai.

Tambah beliau, pelajar-pelajar ini sudah dianggap seperti anak sendiri, sentiasa dinasihati dan ditegur secara tegas jika melakukan kesilapan.

"Peliknya, semakin ditegur semakin rapat pula sehingga acapkali mahu mengikut saya makan di rumah orang tua yang tidak jauh dari rumah sendiri," katanya.

Katanya lagi, ketika dinyatakan niat untuk membeli baju raya, terpancar wajah kegembiraan pada wajah mereka, dan beliau sendiri tidak menetapkan pilihan.

"Dengan kos RM100 seorang, ada yang pilih kurta, baju Melayu Cekak Musang, manakala saya pula tetap dengan pilihan hati baju Melayu Teluk Belanga," ceritanya yang turut lega kerana berjaya menunaikan hajat.

Ujar beliau, jika pandai ambil hati, ambil peduli dengan kehidupan dan latar belakang, bersikap simpati dan empati serta tahu menghargai, pelajar akan sayang dengan gurunya.

"Kasih sayang tak boleh beli dengan wang ringgit. Tak perlu berlakon. Biar kita kekal dengan sikap kasihkan anak-anak. In shaa ALLAH, melekat pelajar dengan kita sampai bila-bila," katanya yang kini mula giat dalam aktiviti kemasyarakatan dalam #ProjekBaktiLestari dan #ProjekCaknaLestari.

Projek amal

Ditanya mengenai projek berkenaan, Cikgu Izra berkata ianya lebih kepada amal jariah.

"#ProjekBaktiJariah sebagai contoh, saya akan pilih mana-mana premis seperti masjid, tokong, kuil atau rumah kebajikan seperti anak-anak yatim dan orang tua untuk buat aktiviti kerjasama lestarikan alam.

“Minimum 30 pokok hasil infak RM10 sepokok daripada orang ramai akan ditanam dan hasilnya akan dinikmati premis atau institusi berkenaan,"katanya.

Tambah Cikgu Izra,  #ProjekCaknaLestari pula lebih kepada membantu golongan fakir, miskin atau institusi tidak berkemampuan untuk menjana pendapatan sendiri.

"Jika sebelum ini, sumbangan berbentuk makanan dan barangan diberikan khususnya ketika musim perayaan, tetapi projek ini akan memasang (setup) sistem fertigasi minimum 10 pokok cili sebagai contoh dengan diajar segalanya dan hasilnya diambil golongan berkenaan.

"Justeru, kita tak bagi mereka ikan semata-mata, tetapi pancing untuk mereka teruskan kelangsungan hidup," katanya yang baru-baru ini turut menerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald 2019 pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang.