Kulim - Tampil sebagai pasukan 'underdog' dari sekolah harian biasa, pasukan bicara berirama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keladi mengejutkan pesaing hebat sekolah terkenal di negeri ini apabila dinobat Johan Choral Speaking  Piala Hektar peringkat negeri Kedah.

Dengan hasil bimbingan dua guru muda berbakat besar, Cikgu Ahmad Azrul Afeze Ahmad Rosdi dan Cikgu Nurul Aini Hayati Azizan, pasukan SMK Keladi pertaruh semangat kental dan usaha gigih, biarpun masa latihan tak sampai sebulan.

Pasukan Choral Speaking SMK Keladi, ketika sedang membuat persembahan.

Pertandingan Choral Speaking Piala Hektar ini anjuran Kulim Central dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu.

Disertai lapan pasukan dari sekolah hebat dalam Daerah Kulim, pertandingan bicara berirama ini mengangkat tema, 'My Malaysia' sebagai tema pertandingan.  

Tampil dengan persembahan kreatif yang cukup bertenaga, keputusan akhirnya memihak kepada pasukan choral speaking SMK Keladi yang dinobatkan sebagai Johan, yang membawa tajuk 'The Amazing Malaysia' .

Pemenang membawa pulang sijil penyertaan, trofi dan wang tunai berjumlah RM1,000.

"Pertandingan ini memberi ruang dan peluang kepada para murid untuk mengembangkan potensi mereka untuk menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi dalam menyampaikan sesuatu mesej. Ia juga dapat mencungkil bakat terpendam pelajar saya. Kejayaan yang diraih ini sekali gus dapat meningkatkan keyakinan pelajar untuk bertutur di dalam Bahasa Inggeris dan mereka percaya bahawa mereka juga setanding sekolah hebat yang lain di daerah Kulim. - Guru pembimbing pasukan Choral Speaking SMK Keladi, Cikgu Ahmad Azrul Afeze Ahmad Rosdi.

Pasukan SMK Keladi akan mewakili negeri Kedah untuk ke peringkat Kebangsaan di Johor yang dijangka berlangsung pada penghujung bulan hadapan.

Tempat kedua jatuh kepada pasukan SMK Sultan Badlishah dan ketiga SMK Sungai Karangan.

Sebagai persiapan menempa kejayaan di peringkat kebangsaan, jurulatih pasukan SMK Keladi yang juga guru Bahasa Inggeris, Cikgu Ahmad Azrul Afeze memberitahu, pihaknya akan membuat penambahbaikan bagi memantapkan lagi persembahan pasukan mereka.

Cikgu Nurul Aini Hayati Azizan dan pelajar bergambar dengan trofi kemenangan

"Paling penting adalah pendedahan kepada pelajar yang sebahagian besar daripada mereka sebelum ini, tidak percaya dengan kebolehan diri untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris.

"Dengan kejayaan ini saya percaya mereka lebih yakin untuk berbahasa Inggeris dan mampu menempa kejayaan jika berusaha dengan betul," katanya.

Lebih membanggakan, pasukan drama Bahasa Inggeris SMK Keladi yang juga dibimbing Cikgu Azrul Afeze dinobat Johan Drama Bahasa Inggeris peringkat negeri Kedah 2018 dan turut negeri ke peringkat kebangsaan tahun lalu.

Reaksi pelajar

Segala masa yang telah dikorbankan, kami bersyukur apabila dinobatkan sebagai juara. Usaha kami yang tidak terhingga akhirnya membuahkan hasil yang tidak disangka. Kami amat berterima kasih kepada guru-guru yang telah memberi tunjuk ajar kepada kami tanpa mengenal erti penat lelah dan setiap nasihat yang telah disampaikan. Terima kasih cikgu, tanpa bimbinganmu kami tidak akan sampai ke tahap ini. Kami akan terus berusaha dengan lebih tekun untuk berjaya supaya dapat mengharumkan nama sekolah pada peringkat seterusnya. - Rabiatul Adawiyah Hamdan

Kami sangat bersyukur atas rezeki yang Allah berikan dan kami amat gembira apabila kami dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan ini. Segala usaha dan pengorbanan kami selama ini amat berbaloi. Kami bersyukur dapat memuaskan hati guru-guru kami yang telah banyak berkorban. Terima kasih kepada ibu bapa kami semua yang banyak memberi kerjasama. Terima kasih juga kepada semua yang menyokong dan mendoakan kemenangan kami. InshaAllah, kami akan berusaha dengan lebih keras untuk ke peringkat seterusnya di Johor. - Nurul Najwa Azman

Segala pengorbanan yang telah kami curahkan ,  kami bersyukur apabila dinobatkan sebagai pemenang . Usaha yang keras akhirnya telah terbalas dengan kejayaan . Kami amat berterima kasih kepada guru-guru yang telah memberi sokongan dan nasihat kepada kami . Terima kasih cikgu , tanpa bimbinganmu kami pasti tidak akan berjaya . Kami akan berusaha dengan lebih keras untuk ke peringkat seterusnya.- Nur Adlin Auji Mohammed Zulkarnain