PENGURUSAN masa adalah satu perkara yang sangat penting buat pelajar dalam menghadapi peperiksaan.

Peperiksaan seperti sebuah medan tempur untuk menguji kemampuan, strategi, ilmu pengetahuan dan kecekapan yang dimiliki oleh seseorang calon.

Pengurusan masa juga merupakan kebijaksanaan pelajar membahagikan masa untuk menjalankan tugas yang berbeza pada masa yang berlainan setiap hari.

Pelajar perlu menguasai banyak subjek dalam masa yang agak singkat.

Jadi, tanpa pengurusan masa yang betul, pelajar tidak akan mampu menyiapkan semua tugasan mereka dengan baik dalam masa yang telah ditetapkan.

Teknik pembelajaran yang baik merupakan satu kaedah dalam usaha kita menghadapi pelajaran yang terbaik sebagai langkah untuk memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam bidang pembelajaran.

Pelajar perlu memahami bahawa tidak ada satu formula yang mesti dan tepat bagi merumuskan satu kaedah yang paling baik untuk menghadapi pelajaran melainkan ia banyak bergantung kepada diri pelajar itu sendiri.

Dalam perancangan masa dan tugas, seorang pelajar mesti memberi keutamaan kepada pelajaran di sekolah, mengulang kaji dan membuat kerja sekolah di rumah atau di perpustakaan.

Selain itu pelajar boleh membahagikan masa yang ada untuk aktiviti yang lain berdasarkan jadual waktu aktiviti-aktiviti yang telah dirancangkan.

Satu lagi isu yang ingin diketengahkan adalah ketagihan pelajar kepada gajet ini memberikan impak yang negatif.

Pelajar yang akan menghadapi peperiksaan akan menghabiskan masa yang banyak di komputer atau telefon bimbit dan juga bersosial secara maya dengan gajet masing-masing.

Masa dan tempat tidak lagi menjadi isu asal sahaja ada capaian internet maka ketagihan terhadap permainan mahupun bersosial akan dilakukan demi melepaskan ketagihan.

Lama kelamaan ini akan menjadi rantaian kehidupan dan ketagihan terhadap permainan online tidak dapat dielakkan.

Rasa berharga hanya dibiarkan berlalu demi ketagihan gajet.

Ini adalah impak yang amat tidak baik kepada pelajar.

Malam hari dihabiskan dengan melayari internet dan ini akan memburukkan lagi keadaan bahkan boleh menyebabkan remaja mengalami masalah kesihatan dan melupakan tugas mereka yang lebih besar iaitu mengulang kaji pelajaran atau menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru.

Akhir kata, pada keseluruhannya, pengurusan masa itu amat penting bagi setiap individu kerana ia membolehkan pelajar menggunakan masa dengan sebaik-baik dan sebijak-bijaknya.

Pengurusan masa yang teratur dan terancang akan membawa faedah dan pengurusan masa yang tanpa panduan dan matlamat akan membawa kesan yang buruk akhirnya akan menyukarkan kehidupan harian seseorang pelajar.

Kamarul Hisham Hashim, Guru Besar SK Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor

Tip Menarik:

Skor A Matematik UPSR...Cikgu Mohamad Hakim kongsi 11 contoh soalan bersama langkah pengiraannya

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Teknik GPS cara Cikgu Shahrul...calon pasti dapat jawab dengan mudah Sains (Kertas 1) UPSR