Kajang - Sempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia, Honda City Owners Club (HCOC) serta Malaysia Jazz Fit Friends Club (MYJFFC) telah bersatu tenaga menganjurkan satu majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari Rumah Pengasih Warga Prihatin, Kajang.

Ahli Honda City Owners Clubs  (HCOC) serta Malaysia Jazz Fit Friends Club (MYJFFC)


Majlis berbuka puasa yang diadakan pada 19 Jun 2016 bertempat di Jade Hills Club House, Kajang Selangor ini turut dihadiri lebih kurang 120 ahli daripada kedua-dua buah kelab kereta ini.

"Ini adalah kali pertama gabungan kelab HCOC dan MYJFFC menganjurkan majlis seumpama ini.

Alhamdulillah majlis pada hari ini berjalan dengan lancar dan kami hanya merancang serta membuat persiapan majlis dalam tempoh dua minggu sahaja. Sambutan daripada ahli-ahli kelab sendiri cukup menggalakkan biarpun cuaca pada hari ini kurang baik.

 

Menyampaikan duit raya kepada anak yatim


"Apa yang penting, kami dapat meraikan bulan yang mulia ini bersama anak-anak yang kurang bernasib baik," ujar Noor Hafiszi bin Ibrahim selaku Pentadbir dua City Of Putrajaya Crew merangkap ketua untuk projek majlis berbuka puasa ini.

Selain meluangkan masa untuk sesi beramah mesra, anak-anak yatim ini turut menerima sumbangan duit raya daripada HCOC serta MYJFFC. Dalam majlis yang sama, pihak penganjur juga berjaya mengumpul kutipan dana lebih RM1000 daripada tetamu yang hadir untuk disumbangkan kepada tabung pendidikan Rumah Pengasih Warga Prihatin ini.    

 

Penyerahan sumbangan kepada guru Rumah Pengasih Warga Prihatin.


Melihatkan kejayaan majlis berbuka puasa ini, HCOC dan MYJFFC membuat perancangan untuk mengadakan majlis rumah terbuka sempena hari raya pula selepas ini.

"Selepas melihat majlis ini berjaya, kami membuat perancangan untuk mengadakan majlis sambutan hari raya pula bersama golongan yang kurang bernasib baik. Tentang lokasi dan pertubuhan mana yang terlibat, kami belum pasti lagi tetapi insyaAllah ia akan berlangsung selepas Hari Raya Aidilfitri kelak," ujar Norhafizi lagi.

 

Anak yatim Rumah Pengasih Warga Prihatin diraikan


HCOC dan MYJFFC adalah antara kelab kereta yang aktif dengan pelbagai program sejak ia ditubuhkan.

Menurut presiden HCOC bagi tahun 2016, Mohamad Nor Azmeer bin Abu Bakar, majlis seumpama ini dilihat banyak membawa faedah kepada ahli-ahlinya.

"Kelab ini disertai oleh ahli dari seluruh negara dan diketuai individu-individu tertentu mengikut bahagian masing-masing. Kebiasaannya setiap bahagian memiliki aktiviti tersendiri dan adakalanya kami bergabung mengikut kesesuaian program tertentu.


Ahli MYJFFC bergambar bersama anak yatim


"Aktiviti seperti majlis berbuka puasa serta rumah terbuka khasnya sangat bermakna buat kami. Selain mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli, ia juga turut mendekatkan kami dengan kehidupan masyarakat dan ia sesuatu yang berfaedah buat semua ahli kelab," ujarnya.

Ahli HCOC bergambar bersama anak yatim