Prof Datuk Dr Husaini Omar dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi baharu berkuat kuasa 1 Februari ini, hingga 9 Mac 2023.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata, Husaini yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sejak 1 Jun lepas hingga 31 Januari ini, akan mengambil alih tempat Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak yang bersara wajib pada 10 Januari lepas.

Husaini, 57, memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Geologi) dari Universiti Malaya (UM) pada 1988, Ijazah Sarjana Kejuruteraan Geologi dari University of Leeds, United Kingdom pada 1994, dan Doctor of Engineering (System Engineering) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2002.

Husaini mempunyai pengalaman industri selama lapan tahun sebagai jurutera geologi sebelum memulakan karier sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan UPM pada 1996.

"Saya percaya berbekalkan kepakaran, pengalaman dan pencapaian yang cemerlang, beliau (Husaini) akan terus melonjakkan prestasi pendidikan tinggi negara selaras dengan hasrat yang diaspirasikan dalam Pelan Pembangunan pendidikan Malaysia (pendidikan Tinggi) 2015-2025," menurut Noraini.

Husaini meniti laluan kejayaan akademik dan pentadbiran apabila dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM pada 15 Feb 2017 sebelum memegang jawatan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dari 1 Januari 2018 hingga 6 Januari 2019.

Beliau juga telah menerbitkan lebih 200 buah penerbitan dalam bentuk jurnal, prosiding, buku, serta laporan teknikal hasil daripada penyelidikan yang dijalankan, di samping pernah menyelia lebih 20 orang pelajar pasca siswazah, dan sebahagian daripada hasil penyelidikan beliau telah dipatenkan di Malaysia dan Amerika Syarikat.

Noraini turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohamed Mustafa atas segala jasa dan khidmat bakti beliau sebagai Ketua Pengarah pendidikan Tinggi.- BERNAMA