PASIR MAS - Islamic Aid Malaysia (IAM), yang menjalin kerjasama dengan Etiqa Takaful, memperuntukkan RM250,000 bagi membantu meningkatkan tahap pendidikan murid di luar bandar menerusi Program Bantuan Pendidikan Etiqa.

Presiden IAM Zawahir Abdullah berkata, peruntukan daripada hasil zakat Etiqa Takaful itu dapat dimanfaatkan oleh 300 murid di Kedah dan 100 murid di Kelantan sebagai persediaan untuk menduduki Ujian Pencapaian sekolah Rendah (UPSR).

Katanya, program berkenaan melibatkan program tuisyen yang akan bermula bulan depan sehingga Julai dengan sebanyak lima subjek teras untuk calon UPSR akan diberikan tumpuan.

"Bagi tahun ini, di Kelantan seramai 100 orang murid Tahun 6 yang kurang berkemampuan dari dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Salor dan Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum dipilih untuk menerima bantuan ini sebagai persediaan mereka menduduki UPSR.

"Bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, setiap murid turut diberikan modul pembelajaran serta buku latih tubi untuk membolehkan membuat latihan serta rujukan,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Program Bantuan Pendidikan Peringkat Negeri Kelantan di Pejabat Penggawa Daerah Salor, di sini.

Mengulas lanjut, Zawahir berkata projek jangka panjang ini juga turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan sekolah-sekolah yang terlibat.

Katanya, pihaknya selaku badan bukan kerajaan (NGO) pelaksana akan mengendalikan serta memantau program berkenaan khususnya daripada segi pengagihan bantuan kewangan serta mendapatkan maklum balas berkaitan prestasi kesemua murid yang terlibat.

Walaupun kita belum pasti sama ada UPSR dapat dilaksanakan susulan penularan wabak Covid-19 di seluruh negara namun kita tetap teruskan perkara ini sebagai persediaan murid, katanya.

Beliau turut berkata, menerusi program yang dilaksanakan sejak lima tahun lepas itu, ia sekali gus dapat meringankan beban keluarga murid yang terlibat terutamanya ketika negara masih berhadapan situasi pandemik Covid-19.

Jelasnya, program itu juga menyediakan kemudahan makanan percuma sebelum bermulanya kelas tambahan bagi memudahkan murid mengikuti kelas tanpa perlu berulang alik ke rumah.

"Malah, bagi memantapkan program ini, bengkel motivasi juga akan diadakan pada Ogos nanti sebelum pelajar menduduki UPSR,” katanya - BERNAMA

Artikel menarik

Kuasai bahan bacaan Braille, ini nasihat Mohd Hazani pada ibu bapa, murid yang OKU cacat penglihatan

Pemohon diminta lengkapkan UPUOnline sebelum 31 Mac