SHAH ALAM - Program Sarapan Percuma (PSP) yang diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan mampu meringankan perbelanjaan keluarga dengan memberi penjimatan kira-kira RM2.3 bilion kepada ibu bapa di Malaysia untuk menyediakan wang saku kepada anak mereka.

Profesor ekonomi di Universiti Tun  Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, inisiatif itu baik kerana ia merupakan pelaburan besar untuk generasi akan datang yang akan mewarisi negara dalam tempoh 20 tahun.

Menurutnya, inisiatif untuk semua murid itu bukan hanya kepada keluarga berpendapatan sederhana, malah murid daripada keluarga berada.

Artikel berkaitan: Sedia sarapan percuma

“Kita ambil contoh, ibu bapa membelanjakan RM856 setahun untuk memberi wang saku sebanyak RM4 sehari kepada seorang anak.

“Cuma ada yang mempersoalkan mengapa anak orang kaya juga dapat makan percuma? Bagi saya yang penting semua murid mendapat keperluan makanan seimbang dan baik supaya dapat beri tumpuan di dalam kelas,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Kelmarin, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan mulai Januari 2020, kerajaan akan menyediakan sarapan percuma untuk 2.7 juta murid di seluruh Malaysia.

Artikel berkaitan: Perhati sedia sarapan percuma, murid terima manfaat

Inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan murid terus kekal sihat dan cergas, selain membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin pada pelajaran setiap hari.

Bagaimanapun Barjoyai berkata, walaupun inisiatif itu adalah yang terbaik bagi membantu meringankan beban ibu bapa, namun terdapat beberapa persoalan berhubung pelaksanaannya.

“Cabarannya adalah bagaimana pihak terlibat dapat menyediakan makanan setiap hari tanpa mengabaikan kualiti dan kebersihan makanan serta tidak menyebabkan pembaziran.

“Inisiatif sama telah diperkenalkan 40 tahun lalu. Awalnya murid diberi bubur, kemudian ditukar kepada roti dan keju tetapi akhirnya mereka menjadi jemu dengan makanan disediakan.

“Untuk elak perkara ini, saya cadangkan supaya ia diberikan kepada beberapa pembekal berbeza bagi mengelak makanan yang disediakan membazir,” katanya.

Menurutnya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pengurusan sekolah boleh mengambil bahagian untuk memastikan penyediaan makanan kepada murid menepati kualiti diperlukan.

Artikel berkaitan: Program sarapan percuma murid perlu ambil kira semua perspektif

Reaksi

"Inisiatif ini langkah yang amat baik dan ditunggu-tunggu sejak sekian lama. Bagi memastikan ia berjaya, satu mekanisme perlu dibuat agar matlamatnya tercapai dan tidak berlaku pembaziran.” - Zamri Awang Hitam, Pengerusi PIBG SK Gong Tok Nasek, Terengganu

Artikel berkaitan: Makanan disediakan kantin sekolah, KPM lancar Program Sarapan Percuma tahun hadapan

"Program ini bukan sahaja membantu murid mendapatkan makanan berkhasiat, malah dapat meringankan beban ibu bapa yang tinggal di luar bandar. Kebanyakan mereka daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah.” - Hilmi Saleh, Yang Dipertua PIBG SK Dulang, Kedah

Artikel berkaitan: Sarapan percuma untuk 982 murid Mukim Serkat

"Kita akui ada murid tidak dapat bersarapan pagi di rumah kerana ibu bapa keluar bekerja. Jadi, bila ada program ini, ia dapat bantu murid lebih fokus pada sesi pembelajaran di sekolah.” - Datuk Tengku Abu Nirah Tengku Ahmad, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Komuniti Swasta Daerah Kuantan

Baca:

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak hadapi peperiksaan

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu, tapi jangan amalkan selalu tau

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

Sejarah nama lima sekolah yang terkenal di Malaysia - Ini faktanya

Hafal fakta buruj Sains (Kertas 2) UPSR - 11 nota mudah dan contoh soalan untuk calon ulang kaji