Bimbang pelajarnya terbabit dalam kejadian tidak diingini di jalan raya mahupun menyertai aktiviti haram, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Triang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan meingkatkan kesedaran keselamatan dan peraturan lalu lintas.

Pengetuanya, Elmy Azizan Abdul Aziz, berkata, walaupun hanya enam peratus daripada 551 jumlah keseluruhan pelajar sekolah itu yang ke sekolah dengan menunggang motosikal ke sekolah namun sebarang tindakan sambil lewa terhadap mematuhi peraturan jalan raya tidak boleh diambil remeh.

"Kita mahu semua pelajar ini faham dan mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan. Ia secara tidak langsung memupuk rasa tanggungjawab dalam diri pelajar itu sendiri, seterusnya  membantu mengurangkan kadar kemalangan.

Setiap perhimpunan pagi SMK Triang Hilir mengadakan ceramah bagi meningkatkan kesedaran pentingnya mematuhi peraturan jalan raya.

“Lagipun kita khuatir juga, kita akan kehilangan modal insan yang tinggi nilainya apabila sering dihidangkan dengan statistik kemalangan yang melibatkan hilang upaya kekal dan kematian sedangkan pelajar hari ini adalah pekerja yang akan berkhidmat untuk negara,” katanya kepada GPS Bestari.

Menurut beliau, setiap sekolah mempunyai Pegawai Perhubungan Sekolah PDRM (PPS) dan pegawai ini akan bertanggungjawab memberi taklimat mengenai undang-undang jalan raya.

“Di kampung tidak seperti sekolah di bandar-bandar besar, walaupun hanya enam peratus sahaja yang menunggang motosikal, selebihnya menaiki bas percuma yang disediakan kerajaan negeri, berbasikal dan berjalan kaki, namun kami sentiasa mengingatkan kepada pelajar tentang kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya.

Elmy Azizan

“Selalunya kami menggunakan platform perhimpunan untuk menyampaikan butiran tentang keselamatan jalan raya yang perlu pelajar patuhi," katanya.

Kata beliau, setiap kali perhimpunan yang diadakan pada pagi Isnin, pelajar akan diingatkan agar wajib memakai topi keledar ketika menunggang atau membonceng motosikal, menunggang dengan berhemah, patuhi undang-undang lalu lintas, patuhi lampu isyarat dan pastikan motosikal dalam keadaan baik.

Tambah guru asal Pontian, Johor ini, sekiranya ada dalam kalangan pelajarnya tidak memakai topi keledar dan terlibat dengan sebarang perlumbaan haram di luar waktu sekolah, mereka akan dipanggil untuk diberi nasihat.

“Lagipun kami tiada kuasa untuk menyaman, mengambil tindakan, merotan, atau apa sahaja hukuman ke atas mereka. Paling tidakpun pengawas hanya akan mengambil nama mereka jika tidak memakai topi keledar ke sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut berkenaan sekatan jalan raya yang acap kali diadakan oleh pihak Polis di sekitar pekan Simpang Durian yang jaraknya hanya 500 meter dari sekolah, Elmy Azizan berkata, pihak sekolah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelajar yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

“Sebenarnya ada juga ibu bapa yang hubungi kami agar tidak melepaskan anak-anak mereka keluar dari kawasan sekolah sehingga sekatan jalan raya selesai bagi mengelakkan anak mereka disaman.

“Tetapi kami biarkan sahaja mereka balik sekolah, apabila tamat waktu persekolahan. Sekurang-kurangnya selepas itu, mereka beringat dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, pendidikan KJR juga sebenarnya boleh diperkasakan dalam beberapa mata pelajaran lain seperti Sivik, Moral, PJK dan subjek Pendidikan Islam.

Reaksi

“Keselamatan paling utama. Sekiranya pelajar yang membawa motosikal ke sekolah tiada mempunyai lesen memandu, kenderaan tiada cukai jalan dan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motorsikal, adalah lebih baik pelajar ini tidak menunggang motosikal ke sekolah.” - Cikgu Rusman Jaafar, Guru Pendidikan Seni Visual

Artikel lain:

Sempena cuti Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh buat ini manfaat masa

PM umum Perintah Kawalan Pergerakan tapi cikgu ini pula yang pening

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

'10 topik Sains wajib ulang kaji ketika ini' - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Pengetua SMKA Naim Lilbanat kongsi tip lonjak keputusan SPM 2019 - Boleh jadi panduan sekolah lain