KUALA LUMPUR - Demi kelangsungan hidup bersama anak-anak, seorang ibu tunggal yang menghidap kanser tahap empat menggagahkan dirinya mencari rezeki.

Idayu Mohamad, 44, berniaga secara kecil-kecilan di kawasan rumahnya, di  Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan di sini.

"Kekuatan saya hanya pada anakanak. Saya bersandar penuh kepada  ALLAH SWT untuk terus berdaya mencari rezeki demi kelangsungan hidup bersama 'tiga  nyawa' saya walaupun dengan penuh kepayahan dan kesakitan," katanya kepada pemberita, di sini.

Kisah kegigihan Idayu menjadi tular di media sosial baru-baru ini dan  mendapat perhatian netizen yang  bersimpati dengan nasibnya.

Semangat wanita itu yang tidak berputus asa walaupun diuji dengan penyakit kanser, amat dikagumi.

Membuat persediaan untuk jualan dan tempahan kuih muih yang diterima.

 

Dalam proses rawatan

Dia kini masih dalam proses menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi.

Idayu berkata, perjalanan hidupnya yang merantau dari Johor ke ibu kota tidak mudah apabila pernah terpaksa hidup menumpang setelah gagal dalam rumah tangga.

Katanya, tiga anaknya, Muhammad Akmal Daniel , 19 , Nur Syafiqah , 18 , dan Muhammad Iman Danish, 10, tidak  pernah berpisah dengannya walaupun hidup dalam serba kekurangan.

"Sebelum saya dapat sewa PPR, saya tinggal di kawasan pasar selama setahun. Anak sulung terpaksa berhenti belajar kerana mahu kerja dan tolong saya sara hidup.

"Saya usahakan untuk dapatkan rumah sewa ini akhirnya dapat sebab saya tiada tempat tinggal. Sejak tinggal di sinilah saya berniaga," katanya.

Gambar Idayu di gerainya yang tular di media sosial.

 

Berpisah dengan suami Lebih menyedihkan, perkahwinan kedua yang disangka dapat menjadi tempat untuk Idayu dan anak-anak bergantung hidup, tidak seperti diharapkan.

"Kami berpisah setelah saya menuntut fasakh. Anak-anak lebih bahagia dengan saya sahaja. Sebab itu saya usahakan untuk cari rezeki tampung hidup.

"Saya sentiasa pesan pada diri selagi saya kuat dan sihat, saya akan usahakan.  Saya percaya ALLAH SWT ada untuk beri rezeki," katanya yang juga penerima bantuan sara hidup bulanan dari Baitulmal.

Idayu yang menjual kuih muih dan nasi lemak kini mula menerima banyak  tempahan dari orang ramai sebagai sokongan untuk menjana pendapatannya.

"Pada 13 Februari ini cukup setahun saya berjuang setelah disahkan hanya  mampu hidup selama lima tahun.

"Terima kasih kepada kenalan dan orang ramai yang prihatin. Doakan saya sembuh untuk saya berjuang jaga anakanak sebelum nafas terhenti,"katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Public Islamic Bank 6823561404.