PUCHONG - Pusara anaknya kini ibarat  taman permainan yang akan dikunjungi setiap hari untuk ‘bermain’  bersama-sama.

Hampir lapan bulan sudah berlalu, kejadian yang meragut  nyawa anak keduanya itu terasa masih baharu.

Tanggal 3 Oktober tahun lalu menjadi detik memilukan buat keluarga Rosmilawati Saidin, 45, ibu kepada Allahyarham Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, remaja yang meninggal dunia akibat lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana Puchong.

Tragedi menyayat hati itu bukan hanya membabitkan anaknya yang juga pelajar SMK Putra Perdana, tetapi turut meragut nyawa enam anggota bomba  akibat lemas ketika operasi menyelamat dijalankan.

“Sejak kejadian itu, boleh dikatakan saya akan pergi ke kubur setiap hari kecuali jika hari hujan. Jika dulu waktu  arwah kecil saya selalu bawa main ke taman, sekarang ini tanah perkuburan ibarat taman buat saya. Saya akan pergi untuk bersama-sama dengan dia.

“Bukan saya tak reda tapi bukan mudah untuk melupakan. Hanya yang pernah merasai kehilangan yang memahami. Apatah lagi dia pergi secara tiba-tiba,” katanya
kepada Sinar Harian.

Ramadan, Syawal amat berbeza

Rosmilawati berkata, kejadian itu benar-benar memberi kesan besar buat mereka sekeluarga apabila Ramadan dan Syawal kali ini  dirasakan amat berbeza.

“Biasanya setiap kali berbuka puasa, arwah yang akan membacakan doa. Sekarang ini adiknya pula ambil  alih. Sebelum ini saya akan masak setiap hari kerana arwah memang suka makan. Bila dia tiada, saya masak pun tak banyak. Kadangkala hanya beli. Terasa sungguh kehilangannya.

“Raya kali ini juga kami sekeluarga tidak ke mana. Biasanya memang akan pulang  ke Kampung di Nibong Tebal Pulau Pinang. Arwah orang  paling teruja setiap kali balik kampung untuk beraya.

“Tapi tahun ni arwah tak ada jadi kami putuskan untuk tidak pulang ke kampung. Kami akan teringat dan sedih bila kenangkan dia,” katanya.

Mengimbau kejadian petang Rabu itu, Rosmilawati berkata walaupun dia sedar  yang anaknya sudah tiada tapi dia masih meletakkan harapan untuk anaknya pulang dalam keadaan masih bernyawa ketika tempoh pencarian jasad belum berakhir.

“Ketika jasad telah ditemui saya begitu lemah dan tidak  mampu untuk melihatnya. Namun ketika saat-saat akhir dikafankan, saya gagahkan diri  untuk menatap  wajahnya buat kali terakhir. Alhamdulillah ALLAH SWT beri kekuatan untuk saya lakukannya,” katanya.

Baju terakhir dipakai anaknya sebelum kejadian yang meragut nyawa 3 Oktober tahun lalu.

Baju terakhir pengubat rindu

BERKONGSI rasa, suri rumah ini mengakui begitu merindui anaknya dan baju terakhir yang  dipakai arwah ketika kejadian itu menjadi mengubat rindu yang tiada penghujung itu.

Baju berkenaan dikatakan dibuka arwah sebelum terjun ke  lombong itu dan diberikan kepada rakannya. 

“Saya bawa pulang dan basuh. Sehingga kini jika terlalu rindu saya akan cium baju itu. Malah baju-baju serta barang peribadi arwah masih berada elok dalam bilik. Saya tak simpan atau usik. Semuanya masih seperti biasa. Jadi ia buat saya rasa seperti dia masih ada.

“Motosikal kesayangan arwah juga masih tersimpan elok. Tiada siapa yang guna. Saya akan cuci dan hidupkan  enjin sekali-sekala,”katanya yang turut berkongsi rasa gembira diberi peluang ‘bertemu’ anaknya itu dalam mimpi beberapa kali.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Lombong Putra Perdana.. Sedih yang tiada terkata]

[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar jatuh lombong rupa-rupanya calon SPM SMK Putra Perdana - Ini kejadian sebenar yang berlaku]

[ARTIKEL BERKAITAN: Ibu cerita keajaiban yang terjadi sebelum mayat Fahmy timbul di permukaan lombong]

Artikel lain:

KPM hargai sumbangan pengetua, guru besar dan guru kanan

Tahniah kepada guru pembimbing yang berjaya gilap bakat murid SK Laksamana ke pentas dunia

'Semua anak murid sayang abah' - Anak Allahyarham Ustaz Ku Yaacob