SHAH ALAM - Pemegang amanah Maahad Darul Anuar, Nik Omar Nik Abdul Aziz nafi pernah menghantar permohonan untuk menyerahkan sekolah itu kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Menurut beliau, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyerahkan tanggungjawab pemegang amanah itu kepadanya selaku anak sulung pada 2008.

Katanya, beliau sebagai penerima wasiat dan pemegang amanah maahad yang terletak di Pulau Melaka, Kota Bharu itu tidak pernah terlintas untuk menyerahkan mandat itu kepada sesiapa.

"Apabila saya diamanahkan wasiat dan mandat tersebut, saya terima dengan rasa tanggungjawab kerana minat saya yang mendalam dalam bidang pendidikan.

"Kesimpulannya saya sebagai penerima wasiat dan pemegang amanah tidak terlintas untuk menyerahkan mandat kepada sesiapa, dan saya akan terus melangkah untuk memastikan impian saya dan Tuan Guru terlaksana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sinar Harian semalam melaporkan, pengurusan Maahad Darul Anuar akan diambil alih oleh YIK bermula tahun depan.

Berita itu tular di media sosial berikutan tersebarnya surat yang ditandatangani Pengarah Yik, Tengku Ab Rahman Tuan Yunus.

Berdasarkan surat tersebut, YIK memaklumkan menerima permohonan daripada keluarga besar Nik Matillah yang mendakwa pemegang amanah menguruskan tanah dan bangunan di Maahad Darul Anuar menyerahkan pengurusan sekolah kepada pihaknya.

Menurut Nik Omar, pihak keluarga tidak sepatutnya membuat apa-apa permohonan mengenai sekolah dan wakaf berkenaan kerana harta wakaf itu bukan milik keluarga, malah bukan juga miliknya secara peribadi.

"Saya hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang amanah untuk menguruskan Maahad Darul Anuar. Mana-mana pihak tidak sepatutnya membangkitkan isu menuntut hak, sebaliknya sama-sama berusaha mengembangkan mutu pendidikan dan pembelajaran,” katanya.

Beliau turut menegaskan, operasi Maahad Darul Anuar masih berjalan seperti biasa dan pihaknya sedang menguruskan pengambilan pelajar baharu bagi sesi 2019.