SABAK BERNAM - Kem Jati Diri Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) mampu memberikan latihan dan kemahiran yang sepatutnya dimiliki mereka.

Penyelarasnya, Rohaida Md Yasin berkata, menerusi kem itu, setiap peserta diberi latihan kemahiran komunikasi berkesan dan menolong agar dapat membantu pelajar lain di sekolah.

"Kem ini turut memupuk pelajar agar mempunyai sahsiah yang baik dan terpuji dalam kalangan guru serta rakan sebaya agar dapat dijadikan contoh dan model yang berguna," katanya.

Seramai 52 ahli PRS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar menyertai Kem Jati Diri PRS sekolah berkenaan di Sungai Limau Resort, di sini.

Pada majlis penutup kem, Mohamad Aiman Mohd Tamam, 14, dan Atirah Mohd Hussairy, 14, diumumkan sebagai peserta terbaik kem tersebut.

Rohaidah berkata, antara pengisian sepanjang kem itu berlangsung termasuk aktiviti 'team building', berjalan malam, merentas halangan dan gagau ikan keli.

"Peserta juga turut berakit dan ikhtiar hidup selain aktiviti pembinaan karektor dan pengucapan awam.

"Diharapkan peserta kem ini mendapatkan input berguna untuk melengkapkan diri sebagai ahli PRS yang dapat membantu pelajar lain," katanya.