Seseorang guru perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran apabila mereka perlu ditempatkan di Sekolah Kurang Murid (SKM).

SKM biasanya berada agak jauh dari bandar atau pekan-pekan yang mempunyai kemudahan yang agak baik.

Guru-guru adakalanya perlu menempuh arus sungai yang deras, melalui denai yang sempit, hutan dan semak samun kerana kedudukan SKM yang terletak jauh di pendalaman.

Ada ketikanya guru-guru SKM perlu berhadapan dengan risiko untuk sampai ke sekolah. Selain itu guru SKM perlu berhadapan dengan masalah ketidakhadiran murid yang agak tinggi.

Cabaran guru-guru SKM kian terasa apabila Kementerian Pendidikan menyasarkan semua sekolah perlu melaksanakan Pendidikan Abad 21 yang menuntut banyak keperluan dan kemudahan untuk mengupayakan murid-murid.

Dalam keterujaan kita ke arah PA21, sebahagian besar SKM masih dalam keadaan daif dan terpinggir. Bangunan tidak diselenggara dengan baik sejak bertahun-tahun apatah lagi kemudahan dan capaian internet yang sangat perlahan.

Banyak kemudahan teknologi yang dibekalkan sejak bertahun-tahun dalam keadaan terbiar dan tidak mampu menyumbang kepada aktiviti PdPc di dalam bilik darjah.

Akibatnya, guru-guru SKM terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk mengupayakan bilik darjah dan aktiviti pembelajaran murid-murid. Peruntukan yang terhad menyukarkan pihak pentadbiran merancang program-program berimpak tinggi seperti sekolah-sekolah lain.

Selain itu, guru-guru di sekolah ini berhadapan dengan ibubapa atau penjaga yang berstatus ekonomi yang rendah. Ini menyukarkan guru-guru SKM melaksanakan aktiviti dengan bantuan kewangan ibubapa. Ramai guru SKM sanggup berkorban mengeluarkan wang saku sendiri asalkan program berjalan lancar dan murid-murid mendapat impak yang positif.

Selain itu guru-guru di SKM mempunyai tanggungjawab berat kerana perlu memikul tugas yang pelbagai dan waktu mengajar yang banyak berbanding dengan guru-guru di sekolah biasa.

Ini kerana bilangan guru di SKM berdasarkan enrolmen murid-murid sedangkan beban tugas adalah sama dengan sekolah-sekolah besar yang lain.

Guru-guru SKM harus menguruskan pelbagai dokumentasi, program dan aktiviti dalam masa yang terhad kerana bilangan waktu mengajar yang banyak. Selain itu bilangan calon dan murid yang sedikit dalam peperiksaan awam mengundang risiko yang besar kepada peratus kelulusan. Justeru itu, guru-guru SKM harus bijak mengggunakan masa bagi memastikan PdPc tidak terabai dalam masa yang sama mampu menjalankan kerja-kerja pengurusan dan pentadbiran.

Dalam pada itu, guru-guru di SKM sentiasa berhadapan masalah kekurangan tenaga apabila sebahagian guru perlu menghadiri kursus, mesyuarat dan bertugas di luar.

Akibatnya mereka terpaksa melaksanakan ‘kelas paku’. Kelas yang dikendalikan hanya seorang guru sepanjang sesi persekolahan pada hari tersebut. Bayangkan kepenatan dan pengorbanan guru-guru di SKM.

Masalah logistik dan struktur geografi juga memberi kesan kepada kadar kepantasan penerimaan maklumat. Walaupun adanya media elektronik dan pelbagai aplikasi, masalah capaian tetap membelenggu guru-guru SKM untuk menerima maklumat dengan pantas. Namun ia tidak menghalang semangat mereka untuk bersaing dalam arus pendidikan masa kini. 

Walaubagaimanapun, segala cabaran dan kepayahan yang dihadapi tidak pernah mematahkan semangat guru-guru SKM untuk memberi pendidikan terbaik kepada semua murid.

Peranan guru-guru SKM bukan sahaja sebagai penyebar ilmu tapi mendidik murid-murid agar mampu menggunakan ilmu dan kemahiran dalam kehidupan mereka pada masa depan. Ini kerana hanya pendidikan dapat mengubah nasib mereka pada masa depan.

Bagi mendepani semua cabaran, guru-guru SKM sentiasa optimis dalam melaksanakan idea baru secara kreatif dan inovatif. Ini kerana sekolah merupakan institusi pendidikan yang memainkan peranan sebagai agen perubahan termasuklah SKM.

Sempena Sambutan Perayaan Hari Guru tahun ini, guru-guru SKM mempunyai harapan yang besar agar dapat memberi kesan positif dalam mengupayakan sekolah dan murid-murid.

Ini kerana dengan adanya perubahan ini proses pendidikan akan menjadi lebih berkesan, bermakna dan sesuai dengan tuntutan perkembangan pendidikan semasa.

Oleh itu tidak mustahil guru-guru SKM juga mampu hebat seperti guru-guru di sekolah lain. Selamat Hari Guru 2018....

- Artikel ini dikongsi oleh Cikgu Norafizah Abdul Razak yang kini mengajar di Sekolah Kurang Murid Kg Baharu, Jerantut, Pahang.

INFO

BIODATA DIRI

- Norafizah Abdul Razak

- Dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang

- Merupakan Guru Cemerlang Perpustakaan & Media Kementerian Pendidikan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Melayu (sedang menyambung pengajian sarjana (Master Of Human Performance Strategy).

- Berpengalaman sebagai Guru Perpustakaan dan Media selama 22 tahun dan sebagai guru selama 26 tahun.

- Pernah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 1999, 2006 dan 2015 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ‘New Deal’: 2011 dan 2012.

- Sebelum bertugas di Sekolah Kurang Murid Kg Baharu, Jerantut, Pahang mulai 2018, beliau telah menabur bakti selama 20 tahun di Sekolah Berprestasi Tinggi SK Seri Biram Pekan Pahang sehingga melonjakkan Pusat Sumber Sekolah ini sehingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

- Pemantapan kerjaya dalam bidang Pusat Sumber sekolah adalah sebagai Jurulatih Program NILAM Negeri Pahang; Fasilitator Pembangunan Pusat Sumber Sekolah Negeri Pahang; Jurulatih Program Tunas NILAM Negeri Pahang dan Fasilitator Project Based Learning(PBL) Negeri Pahang.

- Selain itu beliau pernah membentang Kertas Kerja Peringkat kebangsaan dan antarabangsa iaitu di Seminar Pendidikan Khas- UKM Peringkat Antarabangsa (2016); Seminar Pendidikan Antarabangsa Pekan (2015); Seminar Pedagogi Peribumi Kebangsaan (2015); Seminar Pendidikan Khas Rantau Asia Tenggara (2015); Simposium Guru Penasihat Kelab Doktor Muda Kebangsaan (2014); Panel forum peringkat kebangsaan (Simposium Kelab Doktor Muda Kebangsaan); Panel Forum Perkongsian Amalan Terbaik PSS Peringkat Kebangsaan 2018; Panel Penilai Anugerah Pusat Sumber Sekolah Cemerlang Negeri Pahang; AJK Persatuan Pusat Sumber Sekolah Negeri Pahang; Pembina Modul Kelab Doktor Muda Pendidikan Khas Integrasi Peringkat Kebangsaan dan Ahli Persatuan Penulis-Penulis Pahang .

- Bahan penulisan yang pernah diterbitkan;

1.Siri Bacaan Buku Besar Tunas NILAM

2.Buku Prosiding  Pekan International Education Conference 2015

3.Buku Prosiding Seminar Pedagogi Kebangsaan 2015

4.Buku Prosiding International Special Education Conference 2016

5.Modul NILAM Merentasi Kurikulum

6.Modul Program Eskplorasi Buku

7.Majalah Pendidik.

8.Modul KUNTUM Dalam Darjah

- Penerima anugerah

Anugerah Perkidmatan Cemerlang pada tahun 1999, 2006, 2015; Anugerah PSS Cemerlang Kebangsaan 2004,2006 dan 2009; Anugerah Penyelaras PSS Terbaik 2010; Anugerah Khas Hari Guru 2006 dan 2015; Anugerah Guru Perpustakaan dan Media Terbilang Negeri Pahang 2016 dan Finalis Ikon Guru sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017.

- Kini mulai 2018, beliau banyak memberi latihan dan bimbingan kepada sekolah-sekolah di seluruh Malaysia tentang Pengurusan Sumber Pendidikan dalam PDPc Alaf 21.

- Beliau memohon untuk bertukar ke Sekolah Kurang Murid dari sekolah yang serba lengkap untuk mengupayakan SKM dan berbakti di kampung halaman sendiri.