BATU PAHAT - Mengenali mata wang mungkin ada yang menganggap tidak penting tetapi jika mata wang lama itu boleh membawa pulangan berjuta ringgit, sudah tentu ramai yang tertarik untuk mengetahui lebih lanjut.

Justeru Pameran Koleksi Mata wang: Warisan Numismatik yang diadakan di Galeri Dato’ Onn harus dikunjungi dan direbut peluang ini khususnya pelajar, agar mereka tahu menilai mata wang lama yang selama ingin dianggap tidak bermakna.

Ketua Penolong Pegawai Daerah, Khairul Nizam Md Said berkata, pameran yang diadakan selama dua bulan bermula 3 April itu dibawakan Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan kerjasama Pejabat Daerah Batu Pahat.

Menurutnya, ia mengetengahkan mata wang koleksi YWJ termasuklah yang digunakan pada abad ke-16 hingga ke-18, di zaman Kesultanan Johor.

Katanya, selain bertujuan memberi kesedaran, pameran juga berperanan untuk menghakis tanggapan segelintir masyarakat yang selama ini ini menganggap wang lama tiada nilainya.

“Masih ada yang tahu menilainya. Bukan saja wang kertas namun juga syiling turut bernilai. Malah pelbagai lagi barangan yang terlibat dalam urus niaga termasuklah surat pajak gadai, juga ada nilai tertentu.

“Sebab itulah kita didik orang ramai untuk tahu nilai sebenar mata wang ini. Ia semakin lama semakin bernilai kerana ada antara wang berkenaan, nilainya mampu cecah jutaan ringgit," katanya.

Iman (kanan) dan Muhammad Umar melihat mata wang berbentuk ayam yang dipamerkan di Galeri Dato’ Onn.

Guru dan pelajar ini tertarik melihat mata wang yang pelbagai bentuk.

Wang satu dokumen sejarah

Kata beliau, sebenarnya di negeri ini minat yang mendalam terhadap syiling dan wang lama telah bermula dari zaman Kesultanan Johor lagi.

"Jadi, sempena pameran ini kita dapat beri pelbagai maklumat berkaitan mata wang kepada umum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian pameran itu yang turut dihadiri Pengarah YWJ, Mohd Shahrin Datuk Rahmat dan Kurator Galeri Dato’ Onn, Nor Alisa Abdul Rahman.

Khairul Nizam sedang memberi taklimat kepada Mohd Shahrin.

Khairul Nizam berkata, penting untuk orang ramai dan pelajar mengetahui melalui pameran itu bahawa wang adalah satu dokumen bersejarah.

Menurutnya, atas mata wang berkenaan tercetaknya latar belakang sesuatu budaya, agama dan tradisi masyarakat melalui bentuk, saiz, nilai serta coraknya selain memaparkan kemajuan sesebuah kerajaan.

“Saya harap YWJ akan dapat teruskan pendedahan ilmu yang berkaitan warisan dan kebudayaan di Johor, agar masyarakat dapat mendalami sejarah serta peninggalan mereka terdahulu,” katanya.

Sementara itu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Montfort Iman Naufal, 11, dan rakannya Muhammad Umar Hayat, 11, teruja dengan pameran berkenaan.

Kata Iman, itulah kali pertama mereka melihat pelbagai bentuk mata wang yang telah digunakan di negeri ini.

“Pelbagai jenis mata wang dapat saya tengok daripada bentuk syiling, wang kertas, bentuk jongkong, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

"Pameran ini bolehkan saya tahu latar belakang zaman dahulu,” katanya.

Antara mata wang yang dipamerkan dan pernah digunakan di negeri ini suatu ketika dahulu.

Pameran kesinambungan Jom Melawat Muzium

Pameran yang diadakan itu sebenarnya turut bersempena program ‘Jom Melawat Muzium’.

Pada pameran itu, sebanyak 109 unit mata wang dalam koleksi yayasan terbabit yang mempunyai kepelbagaian bentuk, saiz dan bahan penghasilannya dipamerkan kepada orang ramai.

Pengarah YWJ, Mohd Shahrin Datuk Rahmat berkata, orang ramai dapat melihat keunikan pelbagai jenis wang terutamanya wang syiling pertama di Johor yang dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah 11, pada 1528 hingga 1564.

Katanya, duit syiling berkenaan diperbuat daripada emas dan timah itu, dinilaikan sebagai ‘Mas’ dan ‘Kupang’, selain ia direka dengan tulisan Arab yang menunjukkan pengaruh Islam di negeri ini.

MOHD SHAHRIN

Tambahnya, mata wang berkenaan juga turut diterima pakai dalam jajaran perdagangan antara Johor dengan negeri lain seperti India, Aceh, beberapa negara Arab serta Eropah.

“Dalam pameran ini juga, YWJ tak hanya tekankan mata wang pada zaman Kesultanan Johor saja tetapi terdapat juga koleksi dan zaman lain yang digunakan di negeri ini.

“Ia termasuklah wang digunakan pada zaman penjajahan British dan Jepun yang turut melihat permulaan penggunaan wang kertas, berbanding dengan bentuk syiling serta jongkong timah serta wang bentuk binatang,” katanya.

Menurutnya lagi, tujuan utama pameran ini yang akan bergerak ke Muzium Mersing, Muzium Kota Tinggi, Muzium Tokoh dan Galeri Seni Johor itu bertujuan menimba pengalaman baharu kepada masyarakat.

“Selain itu juga ia bertujuan capai sasaran 200,000 orang melawat muzium dan galeri di Johor ini bermula Mac lalu, dengan pelancaran dijangka dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan.

“Kami juga berusaha pelihara monumen berbentuk sejarah, tradisi, kaji purba, seni lukis, seni bina serta kesenian, selain beri peluang kepada masyarakat untuk buat kajian, penyelidikan dan lindungi pengetahuan warisan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Kurator Galeri Dato’ Onn, Nor Alisa Abdul Rahman berkata, pihaknya berbangga setelah menjadi lokasi pertama pameran berkenaan yang akan diadakan di seluruh muzium YWJ.

Katanya, galeri berkenaan dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula 9.30 pagi sehingga 4.30 petang dan sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan pihak galeri, menerusi talian 07-431 7220.