Kejayaan pelajar tahfiz dari Sekolah Menengah Kebangsaan  (SMK) Agama Kedah, Alor Setar, merangkul pingat emas di International Eureka Innovation Exhibition (i-EIE) kali ke-7 2019 membuktikan kemenjadian pelajar mampu setanding arus perdana.

Inovasi El Haneeff-Long Distance Hafazan Monitoring System yang dihasilkan enam pelajar di bawah bimbingan Guru Cemerlang Hifz al-Quran, Badrulhanif Sulaiman berjaya memenangi hati juri mengatasi penyertaan 353 sekolah dari seluruh dunia.

Pertandingan anjuran University Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute itu menghimpunkan peserta dari seluruh dunia dan berlangsung di UniKL Kulim pada 9 Oktober tahun lalu.

 Sijil dan pingat emas yang diperoleh oleh SMK Agama Kedah setelah dinobat Johan i-EIA 2019.

Antara negara yang turut serta dalam pertandingan yang diadakan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kulim, Kedah itu ialah Indonesia, Singapura dan Thailand.

Kongsi beliau yang mesra dengan panggilan Ustaz Badr, idea itu tercetus setelah melihat masalah dialami guru dan pelajar dalam perekodan bagi pendidikan tahfiz terutamanya bagi sekolah tahfiz model ulul albab.

Jelas beliau, antara masalah yang sering timbul adalah buku rekod hilang, rosak dan sebagainya.

"Rekod hafazan selama lima tahun di sekolah amat penting kerana ia diambil kira sebagai pentaksiran dan menyumbang markah kepada tiga kertas subjek Hifz al-Quran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelajar SMKA Kedah sedang memberi penerangan mengenai aplikasi El Haneeff-Long Distance Hafazan Monitoring System kepada Ketua Penyelidik SIRIM, Dr Mohd Afian Omar

“Dengan adanya aplikasi El Haneeff-Long Distance Hafazan Monitoring System, membolehkan guru merekodkan hafazan harian pelajar sekali gus dapat memantau perkembangan kualiti hafazan daripada graf auto yang terjana, selain pelajar itu sendiri boleh membuat target hafazan dengan lebih jelas,” katanya.

 Inovasi

Ustaz Badr dan enam pelajarnya mengambil masa setahun untuk membangunkan aplikasi itu.

Beliau memang membuat persediaan awal kerana itu penyertaan mereka kali kedua pada pertandingan yang diadakan setiap tahun.

"Saya mulakan projek inovasi pada awal tahun lagi, selepas menyertainya tahun lepas walaupun tidak mendapat sebarang tempat tetapi saya sudah faham syarat penyertaan dan pemilihan pemenang," kata Ustaz Badr.

Sebaik dimaklumkan mengenai pertandingan yang diadakan oleh pihak UniKL dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah,  aplikasi tersebut sudah separuh dalam pembinaan.

Ustaz Badrulhanif menunjukkan pingat emas dan sijil yang dimenangi pasukan inovasi SMKA Kedah.   

“Kami mengambil masa setahun untuk membangunkan aplikasi ini. Setiap Sabtu kami berbincang, merangka idea dan membangunkan aplikasi.

"Kos keseluruhan yang berjumlah RM2,700 ditanggung sepenuhnya oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya.

Pelajar terbabit terdiri daripada dua pelajar Tingkatan Satu; dua Tingkatan Dua dan dua lagi Tingkatan Empat.

Mereka ialah Ahmad Muaz Mohamed Ali, 13; Irfan Afifi Musa, 13; Muhammad Syahmie Najwan Mohd Najib, 14; Alif Nur Ilham Azman, 14; Muhammad Danial Sidik Nor Zawari, 16, dan Muhammad Nafeez  Mahadzir, 16 tahun.

Ustaz Badr memberitahu, pertandingan tersebut dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu universiti, sekolah menengah dan sekolah rendah.

Setiap peringkat itu dipecahkan pula kepada beberapa kategori, iaitu Kategori Teknikal, ICT dan lain-lain, yang mana setiap inovasi itu haruslah berteraskan revolusi industri 4.0.

“Secara umumnya, Revolusi Industri 4.0 melibatkan Internet of Things (IOT) atau Internet Kebendaan dalam hampir semua aspek kehidupan seharian," katanya.

Jelas beliau lagi, berbeza dengan revolusi industri pertama yang tertumpu kepada penggunaan mesin berkuasa wap, revolusi industri kedua yang menjurus kepada elektrik dan revolusi industri ketiga yang lebih kepada penggunaan teknologi maklumat (IT).

Menariknya, dalam pertandingan berkenaan, Malaysia merupakan negara pertama yang merangka elemen cabaran industri 4.0 dalam pelan pembangunan pendidikan (2015-2025).

Aplikasi El Haneeff-Long Distance Hafazan Monitoring System

Persediaan

Beliau berkata, langkah awal yang dibuat adalah mempersiapkan pelajar dengan ilmu coding dan membina aplikasi.

"Pelajar perlu faham selok belok penggunakaan sistem dan bagaimana untuk memantapkan aplikasi yang dibina.

"Sekiranya berlaku sebarang ketidakbolehcapaian dalam sistem, enam pelajar ini akan cuba menyelesaikan permasalahan tersebut dengan merujuk saya sebagai guru penyelaras bestari sekolah," katanya.

Malah, kata beliau, pelajar juga perlu memahami beberapa maklumat asas dalam membina aplikasi ini seperti punca permasalahan, objektif pembinaan, keboleh pasaran aplikasi di peringkat antarabangsa dan sebagainya.

Itu semua penting apabila pelajar berhadapan dengan juri ketika sesi penilaian dalam pertandingan tersebut.

Dengan kata lain, pelajar terbabit perlu faham dan terlibat secara langsung sejak awal hingga akhir dalam pembinaan aplikasi.

Justeru, mereka mengadakan pertemuan setiap Sabtu untuk berbincang dan membangunkan  aplikasi perekodan data hafazan iaitu El Haneeff-Long Distance Hafazan Monitoring System.

"Alhamdulillah, hasil pengorbanan selama ini berbaloi, pencapaian ini pastinya mengubah persepsi masyarakat terhadap kualiti pelajar tahfiz dan membuktikan pelajar tahfiz juga mampu berdiri megah serta berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Sejak dari alam persekolahan lagi saya kurang senang dengan sikap sesetengah  masyarakat yang memandang rendah dan memperlekehkan hala tuju pendidikan serta kemampuan  pelajar tahfiz al-Quran.

“Disebabkan itulah saya tanamkan dalam hati untuk bantu dan buktikan pelajar tahfiz ini juga mampu setanding dengan pelajar arus perdana lain,” katanya kepada GPS Bestari.

Sementara itu, Pengetua Cemerlang SMKA Kedah, Mahir Mohamad, berkata, aplikasi tersebut membantu dan memudahkan guru mengenal pasti tahap pencapaian hafazan bagi setiap pelajar melalui graf perkembangan pencapaian hafazan setelah guru mengisi rekod hafazan dalam sistem online yang dihasilkan.

“Menerusi sistem yang dihasilkan ini, membantu meningkatkan pencapaian kualiti hafazan setiap pelajar melalui kaedah pemantauan jarak jauh yang lebih mudah, sekali gus dapat mempamerkan perekodan yang lebih tepat dan cepat,” katanya.

Enam pelajar wakili negara ke i-EIE:

Ahmad Muaz Mohamed Ali (Tingkatan 1)

Irfan Afifi Musa (Tingkatan 1)

Muhammad Syahmie Najwan  Mohd Najib (Tingkatan 2)

Alif Nur Ilham Azman (Tingkatan 2)

Muhammad Danial Sidik Nor Zawari (Tingkatan 4)

Muhammad Nafeez Mahadzir (Tingkatan 4)

Artikel lain:

Jom cikgu sepakat bersama berganding bahu #DudukRumah

Sempena cuti Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh buat ini manfaat masa

PM umum Perintah Kawalan Pergerakan tapi cikgu ini pula yang pening

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

Pengetua SMKA Naim Lilbanat kongsi tip lonjak keputusan SPM 2019 - Boleh jadi panduan sekolah lain