Buat julung kalinya selepas tujuh tahun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan Anugerah Surau Imarah Sekolah-sekolah (ASISS), sekolah menengah agama mendapat johan peringkat kebangsaan bagi tahun ini.

Menewaskan lima pencabar lain, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu, Kelantan membuktikan kecemerlangan apabila merangkul anugerah utama Kategori Musolla Sekolah Menengah.

Penyampaian anugerah untuk pertandingan yang diadakan dengan kerjasama Bank Islam itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed dan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM, Hassan Nudin A. Hamid di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, Selasa lalu.

Turut hadir Pengurus Besar, Hubungan Strategik Bank Islam, Ustaz Mohd Nazri Chik, Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Dr Mahanom Mat Sam dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohd Shahzihan Ahmad.

Hussamudin (empat dari kiri) meraikan kejayaan SMKA Naim Lilbanat bersama Mustaffa (tengah) dan guru.

Pengetua, Mustaffa Chik berkata, anugerah tersebut merupakan kemenangan berharga buat mereka apabila buat julung kalinya sekolah menengah kebangsaan agama memenangi anugerah berprestij yang dianjurkan 2013.

“ASISS bukan sahaja melahirkan generasi yang cintakan masjid bahkan turut menggalakkan surau dan musolla sekolah diurus dengan lebih sistematik seterusnya berfungsi sebagai pusat pendidikan serta kegiatan dakwah di sekolah.

“Ia sangat bertepatan dengan objektif utama kami untuk menjadikan musolla sekolah dikenal Masjid An-Naim sebagai sebuah pusat Islam yang fungsinya lebih luas dan menyeluruh kepada pelajar serta masyarakat setempat,” katanya kepada GPS Bestari.

Mustaffa Chik

Pertandingan tersebut meliputi empat kategori iaitu Surau Sekolah Rendah dan Menengah serta Musolla Sekolah Rendah dan Menengah.

Kriteria penghakiman berdasarkan beberapa aspek penting yang meliputi pengurusan pentadbiran, aktiviti, kelengkapan dan peralatan, fizikal bangunan serta inovasi.

Proses pemantauan dan penilaian surau dan musolla bagi peringkat kebangsaan telah dijalankan selama empat bulan bermula April 2019.

Pembinaan menara di hadapan pintu masuk masjid melambangkan pendidikan agama itu diutamakan

Mustaffa berkata, kerjasama erat selama berbulan-bulan, bermula daripada mengenal pasti konsep keceriaan, menghias, mencipta inovasi dan merancang aktiviti, semua dilakukan sendiri oleh guru panitia SMK Naim Lilbanat dan pelajar.

“Faktor utama kemenangan kami adalah aktiviti pemerkasaan masjid,  program, tandas yang bersih dan menarik serta lebih 20 inovasi yang kami cipta khas untuk pelajar di masjid ini.

“Antara inovasi yang menjadi penyumbang kemenangan ialah mesin tayamum yang dicipta khas sekiranya berlaku ketiadaan air untuk berwuduk. Malah, ia juga merupakan inovasi yang pertama di Malaysia,” katanya.

Shadiah Mohamed

Sementara itu, guru penyelaras Ustazah Shadiah Mohamed berkata, keistimewaan Masjid An-Naim adalah kedudukannya yang stategik, berdekatan dengan pintu masuk utama, bersebelahan dengan bangunan pentadbiran dan pembelajaran.

“Masjid An-Naim juga turut mempunyai prasarana yang baik, dilengkapi dengan pendingin hawa, sistem audio, karpet dan ruang luas yang boleh menampung jemaah sehingga 1,000 orang.

"Kesemua kemudahan ini ialah hasil sumbangan orang ramai, pendidik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamudin Yaacub,” katanya.     

Timbalan Pengarah, Pembangunan Program Adab dan Nilai, Bahagian Pendidikan Islam (BPI), KPM, Noriah Haron (lima dari kanan) bersama Mustaffa (empat dari kanan) ketika proses verifikasi dan penilaian akhir ASISS 2019.

Tambah Ustazah Shadiah, antara tarikan utama jemaah berkunjung ke Masjid An-Naim adalah kelas 'Jom Kakak Ajar' yang dilaksanakan secara percuma untuk anak-anak guru dan penduduksekitar sekolah Naim Lilbanat.

“Pembelajaran yang meliputi kelas taranum, sirah, tafsir, dan al-Quran ini, diajar oleh pelajar Tingkatan Dua hingga Empat sekolah ini dan ia terbuka untuk anak-anak berusia lima hingga 12 tahun,” katanya.

Ruang utama Masjid An-Naim

Dewan Halaqah yang berkonsepkan sekolah pondok untuk kemudahan pelajar mengulang kaji pelajaran.

Beberapa pelajar sedang menghias ruang di dalam masjid

 Tandas masjid yang luas dan cantik turut menyumbang kemenangan Masjid An-Naim.

Ruang santai di tepi Masjid An-Naim

Kerja ubah suai Masjid An-Naim bagi memasuki pertandingan

Operasi mencantikkan bahagian luar masjid

Ruang kelas 'Jom Kakak Ajar' untuk anak-anak penduduk dan masyarakat setempat.

Senarai Pemenang Anugerah Surau Imarah Sekolah-sekolah 2019

Kategori Musolla Sekolah Rendah

Johan - SK Nyior Tujuh, Terengganu

Kedua - SK Subang Bestari 2, Selangor

Ketiga - SK Benut, Johor

Harapan - SK Pianggu, Pahang

Khas Juri - SJKC Kg Baru Mahsa, Negeri Sembilan

 

Kategori Surau Sekolah Rendah

Johan - SK Abdul Rahman Yassin, Johor

Naib Johan - Sk TTDI Jaya, Selangor

Ketiga - SK Gong Pasir, Terengganu

Harapan - SK Puteri, Negeri Sembilan

Khas Juri - SK Telahak, Sarawak

 

Kategori Musolla Sekolah Menengah

Johan - SMKA Naim Lilbanat, Kelantan

Naib Johan -Sekolah Seri Puteri, Selangor

Ketiga - SMK Seri Kota Putih, Johor

Harapan - SMK Bayan Lepas, Pulau Pinang

Khas Juri - SMKI Medamit, Sarawak

Khas Juri - SMK Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur

 

Kategori Surau Sekolah Menengah

Johan - SMKA Miri, Sarawak

Naib Johan - SMKA Dato’ Haji Abbas, Terengganu

Ketiga -SMK Pekan Baru, Johor

Harapan - SMK Puchong, Selangor

Khas Juri - SMK Kota Marudu 2, Sabah

 

Reaksi

“Sudah semestinya saya berasa bangga kerana segala penat lelah guru dan pelajar yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung telah terbalas dengan kejayaan ini.” - Nur Elyanie Muhammad Suzuki, Pelajar Tingkatan Empat

“Masjid sekarang mempunyai pelbagai fungsi dan kemudahan lengkap yang boleh menarik minat pelajar untuk mengunjungi masjid, berbanding sebelum ini.” Ainun Zarifah Hamdan, Pelajar Tingkatan Empat

“Saya akan bertanggungjawab mengekalkan keceriaan masjid dengan meletakkan  barangan yang telah saya gunakan ke tempatnya semula, contohnya al-Quran dan kitab-kitab.” - Nur Aleya Nadhirah, Pelajar Tingkatan Empat

“Kejayaan ini adalah berkat kesungguhan pentadbir dan semua guru, sehingga sekolah kami berjaya terpilih sebagai johan.” Ramziah Ismail, Guru Pendidikan Syariah Islamiah.

“Pembinaan menara di hadapan pintu masuk masjid melambangkan pendidikan agama itu diutamakan manakala konsep pembelajaran di dewan halaqah yang bersambung dengan dewan utama masjid pula berkonsepkan pembelajaran pondok. Inilah keistimewaan Masjid An-Naim.” - Siti Zaiton Abu Bakar, Guru bahasa Arab.

Artikel Menarik:

Cikgu ini beri pesanan kepada ibu bapa murid sekolah sesi petang

'Saya terima amanah dengan penuh keinsafan, berilah saya ruang lakukan terbaik' - Dr Mohd Radzi

 

Tip Lain:

Guru Cemerlang Tahfiz kongsi kaedah DTHT untuk hafaz al-Quran dengan mudah

Teknik Putaran Waktu bantu murid memahami kepentingan ‘masa’ - Ustaz Quszaini

Skor A semua subjek UPSR daripada sekarang - Cikgu Ahmad Safarman kongsi enam tip mudah

Hafal formula 'Memori Mengarang', murid pasti skor Bahasa Melayu UPSR