KOTA BHARU - Institusi tahfiz perlu peka kepada keselamatan pelajar di bawah jagaan mereka terutamanya melibatkan aktiviti luar kawasan.

Timbalan Ketua  Penerangan Wanita Pakatan Harapan Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, insiden yang berlaku melibatkan pelajar tahfiz di Kuala Krai tahun  lalu memberi pengajaran kepada semua masyarakat untuk tidak pandang ringan isu keselamatan melibatkan pelajar tahfiz.

“Ia membuka mata anggota masyarakat agar tidak memandang ringan  terhadap peraturan termasuk undang-undang jalan raya kerana ia diwujudkan untuk menjaga  kepentingan semua pihak dalam masyarakat.

“Dalam konteks syariah Islam undang-undang jalan raya adalah  untuk menjaga maqasid syariah antaranya menjaga nyawa,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau diminta mengulas mengenai seorang bekas pelajar maahad tahfiz yang terbabit dalam kemalangan di Kuala Krai tahun yang menang saman RM4,334,507 di  mahkamah seksyen disini, semalam.

Kos tersebut membabitkan ganti  rugi terhadap Muhammad Faiz Hafizuddin yang cedera kepala dan retak saraf tunjang sehingga menyebabkan mangsa lumpuh  seumur hidup selain bagi pembelian lampin pakai buang, tiub makanan, beg kencing, katil, tilam dan jururawat persendirian.

Menurutnya, kes sama ini seharusnya memberi pengajaran kepada semua pihak dan keselamatan di  jalan raya harus diutamakan dan tidak boleh digadaikan walau  atas nama apa sekalipun. 

Malah beliau memberitahu, sebagai institusi yang membawa nama  agama seperti institusi tahfiz seharusnya lebih peka terhadap pematuhan undang-undang  termasuk mengambil insurans perjalanan untuk pelajar, apatah lagi membenarkan kenderaan dipandu oleh pemandu yang tiada lesen sah.

“Ini termasuk urus tadbir baik yang sangat dianjurkan dalam Islam dan sekiranya diamalkan akan sekali gus menaikkan Islam sebagai solusi penyelesaian kepada masalah yang dihadapi okeh masyarakat.

“Tiada nilaian yang boleh mengembalikan mangsa kepada keadaannya yang sebelum ini. Diharap pampasan ini dapat meringankan bebanan yang ditanggungnya  dan keluarga sepanjang hayat,”katanya.