PASIR PUTEH - Hidup mereka sekeluarga tidak pernah surut dari menghadapi kesusahan, namun dengan kecekalan ibu yang melahirkan, 11 anak diajar berdikari.

Satu tamparan hebat bagi isteri, Zaleha Hassan, 47, setelah hampir 13 tahun suaminya, Mohd Fauzi Mat Husin, 50, disahkan menghidap penyakit buah pinggang dan sudah dua tahun berulang-alik ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

Beban yang ada digalas Zaleha dengan reda, dan tabah hanya memikirkan anak-anak kecil masih bersekolah.

"Sebelum ini, suami saya meniaga air batu, ikan dan ayam, di Pasar Lama Pasir Puteh, tetapi sejak dua tahun ini, dia terpaksa mencuci buah pinggang, malah penyakit lain seperti gout dan mental pun ada.

"Apabila keadaan begini, tugas mencari pendapatan terpaksa saya pikul, namun saya bersyukur kerana anak-anak yang sudah dewasa, turut membantu meringankan beban dengan berniaga air di hadapan rumah," kata Zaleha yang ditemui di kediamannya di Kampung Tebing Tinggi, di sini, kelmarin.

Keluarga berkenaan mendapat perhatian semasa Program Kita Kongsi, kendalian Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) yang turut dihadiri Setiausaha Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Muhammad Imran Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif Royal Guest House (RGH) Raja Rusmin Raja Mahmud, Pengarah Operasi Kelantan Creative TV (KCTV) Norazwatul Akmal Kasmuri dan Presiden KEMUDI, Azran Fitri Ab Rahim.

 

Video Bernama

 

Zaleha mengakui sebelum ini dia pernah menjadi pembantu meniaga di pasar malam, namun kekangan anak yang masih kecil dan tidak ada pengasuh, dia terpaksa melupakan hasrat untuk bekerja.

"Saya sedar saya ada anak ramai yang masih bersekolah, jadi saya ajar mereka supaya beritahu jadual mata pelajaran dan siapkan kerja sekolah awal bagi mengelak keadaan kelam-kabut.

"Anak yang dewasa diajar supaya bantu adik-adik dan adik kecil pula jangan banyak meragam, barulah saya boleh kendalikan tanggung jawab seharian dengan tenang," katanya.

Mengakui pernah mendapat cemuhan kerana banyak memberi tumpuan bagi pembelajaran anak-anak sedangkan hidup mereka susah, Zaleha berkata, dia menguatkan semangat untuk usaha itu.

Anaknya, Fatin Farhana, 23, Fatin Farhani, 21, Fatin Wirda Raihan, 18, bergilir-gilir meniaga air, manakala Mohd Shukri, 16, masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut, Fatin Nur Bahiyah, 15, di SMK Kamil, Fatin Sufiyah, 13, berada di SMK Tok Janggut, Mohd Amir Adli, 11, di Sekolah Kebangsaan (SK) Laki-laki Pasir Puteh, Fatin Nur Hidayah, di SK Perempuan Pasir Puteh, juga anak kembarnya, Fatin Nur Aisyah, 7 dan Fatin Nur Fatimah, di SK Perempuan Pasir Puteh.

"Biarlah mereka bersekolah dan sambung belajar, kerana saya dapat rasakan apabila kita dihimpit susah, kita kena ingat, semua itu bukan kita minta, kita sebagai manusia adalah lemah, tetapi saya reda dan bersyukur,” katanya.

Dua lagi keluarga yang dilawati, ibu tunggal, Nik Asma Nik Pa, 40, yang kematian suami, Roslan Rashid sejak empat tahun lalu kini terpaksa menyara tujuh anaknya yang masih belajar.

Anaknya, Nur Salsabila Roslan, 22, baru tamat pengajian Sains Komputer di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Kelantan, Nur Najihah, 21, baru selesai menjalani pembedahan sendi pinggul, Shahira Balqis, 20, masih menuntut di UiTM Seri Iskandar, Perak dalam bidang Landskap Arkitek, Iskandar Zulkarnain, 18, bekerja di kampung, Muhammad Aliff Asyraf, 16, belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Krai, Kelantan, manakala dua lagi bersekolah di sekolah Kebangsaan Changgai, Muhammad Haziq Muhaimin, 12 dan Muhammad Haziq Iqbal, 8.

Apa yang menjadi dilema bagi keluarga itu selain masalah kewangan, rumah yang didiami di Kampung Batu Hitam, Gaal adalah terletak di tanah rizab kerajaan, dan mereka berharap mempunyai rumah sendiri suatu hari nanti.

Kata Nik Asma, sejak empat tahun ketiadaan suami, persiapan membeli pakaian hari raya mendapat perhatian pemimpin dan penduduk tempatan.

Keluarga terpilih yang lain, Amran Yusof, 53, pula adalah penghidap strok, namun dengan bantuan tanggung jawab isteri, Zarina Yasin, 48, mereka menggalas tugas menjaga sembilan anak berusia 28 tahun hingga lima tahun di Kampung Tebing Tinggi, di sini.- Bernama

Artikel menarik:

Era teknologi mencabar... Guru Bahasa Inggeris ini jadikan Al-Quran sebagai pendamping setia anak

Bahasa Inggeris untuk Matematik dan Sains... hampir serupa program DLP sebelum ini

'Semua ingat nak masuk matrikulasi, akhirnya IPG merosot' - Lepasan cemerlang SPM digalak mohon IPG