KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyifatkan saranan memperkenalkan seni tulisan (kaligrafi) kaum lain sebagai sukatan pelajaran di negara ini sebagai perkara yang boleh dipertimbangkan.

“Itu menarik untuk diperbincangkan memandangkan dalam pendidikan seni juga kita menitikberatkan kesenian pelbagai kebudayaan daripada pelbagai etnik dalam Malaysia,” katanya kepada wartawan selepas menyempurnakan Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-46 di sini semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan sama ada kerajaan sedia memperkenalkan kaligrafi lain seperti kaligrafi Cina di sekolah kebangsaan.

Artikel berkaitan: 'Takkan hilang adat resam bangsa lain dengan belajar jawi' - Guru Besar SK Sokor

Ia rentetan maklum balas masyarakat Tionghua berkaitan keputusan muktamad kerajaan memasukkan seni khat dan tulisan jawi dalam sukatan pelajaran sekolah kebangsaan.

Terdahulu, media melaporkan isu berkenaan turut disuarakan oleh beberapa cendekiawan persatuan Cina yang menyarankan setiap aliran sekolah di Malaysia saling mempelajari seni tulisan antara kaum lain.

Cadangan berkenaan dikatakan telah ditimbulkan dalam pertemuan Dr. Maszlee bersama beberapa pemimpin persatuan Cina pada 1 Ogos lalu.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan keputusan memperkenalkan seni khat dan tulisan jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu tahun empat di sekolah vernakular bermula tahun depan adalah kekal.

Kementerian Pendidikan sebelum itu menyatakan pengenalan tulisan khat ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara.

Kerajaan turut memberi jaminan akan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru.

Mengulas lanjut, Dr. Maszlee berkata, pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan pengarang media cetak dan elektronik berbahasa Cina berhubung perkara berkenaan.

“Kita telah mengadakan pertemuan dengan beberapa editor akhbar Cina dan kita dah bincang secara terperinci dengan mereka menjelaskan apa yang dilakukan kerajaan dan beberapa yang dibaik pulih agar pembelajaran khat tidak membebankan murid dan guru,” katanya.

Baca:

Muhammad Farhan diuji sejak berusia lima tahun lagi

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains Cikgu Zazolnizam

'Bagaimanalah kami tak jatuh sayang pada kamu Syazwan' - Coretan satu ustazah ini buat ramai sebak

Guru ini kongsi tip mudah skor A subjek bahasa Inggeris UPSR

Link soalan percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi