FELDA TRIANG 3 - Lebih 15 jabatan dan agensi kerajaan serta NGO terpilih sebagai rakan sinergi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk melaksanakan aktiviti di semua sekolah dalam usaha mempertingkatkan pencapaian dan kejayaan pendidikan di daerah ini.

Penolong Pustakawan Daerah, Mohd Hazairi Ariffin berkata, jalinan kerjasama ini secara tidak langsung dapat memanfaatkan Perpustakaan Awam Daerah apabila lokaliti itu dijadikan tempat penganjuran aktiviti dan program.

Menurutnya, apabila aktiviti berkaitan diadakan di perpustakaan, pelajar dapat mengenali perpustakaan dan menimbulkan minat untuk kembali pada masa akan datang.

“Masih ramai tidak tahu di mana lokasi perpustakaan. Fakta ini memang menyedihkan tetapi itu hakikat terpaksa kami telan dan hadam.

“Jadi, dengan adanya jalinan ini, bukan sahaja perpustakaan bakal menjadi popular dalam kalangan warga sekolah, tetapi ia akan menjadi meriah semula seperti sebelum wujudnya alat komunikasi dan gajet yang memaparkan maklumat di hujung jari mereka.

“Dahulu, perpustakaan adalah tempat untuk semua orang mencari sumber, dan kita mahu fungsinya kekal begitu dan pastinya, perpustakaan juga dilengkapi kemudahan di hujung jari juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perutusan dan Hala Tuju Strategik 2017 PPD Bera, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Triang 3, di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang, Dzulkifri Nordin dan Pegawai Pendidikan Daerah, Baharum Samat.

Pada majlis itu, PPD membentangkan sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun ini, dan melantik rakan sinergi bagi menjayakan pelaksanaan itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Triang, Mohd Rashidi Mohd Isa memberitahu, meskipun peranan jabatan itu tidak besar, namun menerusi Kadet Bomba dilaksanakan di sekolah menengah, semua ilmu berkaitan boleh disalurkan.

“Pihak kami tidak mampu meningkatkan pencapaian dalam akademik tetapi daripada aspek kokurikulum dan sahsiah diri, kami mampu membantu mereka.

“Kami berbangga dipilih sebagai rakan sinergi kerana secara tidak langsung juga, ia dapat meningkatkan minat anak muda terhadap profesion pasukan penyelamat ini,” katanya.