PUTRAJAYA - Pembudayaan integriti akan membentuk 'hero teachers' dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan yang akan diteladani, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Pada majlis sambutan Hari Integriti Kementerian Pendidikan di sini hari ini, Maszlee berkata warga kementerian sama ada golongan pentadbir, pendidik dan ahli akademik perlu sentiasa berusaha membudayakan integriti di peringkat organisasi masing-masing.

“Jadilah hero teachers di organisasi masing-masing yang dapat dijadikan teladan dan contoh ikutan oleh yang lain,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya Teo Nie Ching.

Maszlee berkata beberapa inisiatif dilaksanakan bagi memastikan nilai integriti menjadi asas dalam pendidikan negara antaranya melibatkan usahasama kementerian dengan Institut Integriti Malaysia bagi menyediakan Modul Integriti Pra Sekolah untuk dikembangkan ke prasekolah di seluruh negara.

Selain itu, katanya penubuhan Majlis Pegawai Integriti di institut pengajian tinggi awam dan penambahbaikan pelaksanaan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah ke semua bahagian dan agensi di kementerian itu.

Maszlee dalam pada itu juga meminta warga kementerian menggunakan media sosial secara berhemah bagi tujuan mendidik dan menyebarkan ilmu dan bukannya untuk menimbulkan kekeliruan dan kekacauan, mengadu domba dan menyebarkan fitnah.

“Ingatlah sebagai penjawat awam dan warga pendidik kita senantiasa diperhati oleh masyarakat dan kalangan pelajar, santunilah mereka dengan pekerti yang luhur dan integriti yang tinggi,” katanya.

Pada majlis itu, Teo menyampaikan anugerah kepada empat warga Kementerian Pendidikan yang menunjukkan kecemerlangan dalam aspek kerja berintegriti, berdisplin tinggi dan mempamerkan ciri-ciri peribadi positif yang boleh diteladani.

Dr Ibrahim Mohamed Zin dianugerahkan Tokoh Teladan Integriti bagi Kategori Pengurusan dan Profesional (Sektor Pendidikan), Paridah Ali (Kategori Kumpulan Pelaksana), J Gobbi Nathan bagi Kategori Pengurusan dan Profesional (Sektor Pendidikan Tinggi) dan Foziman Rosman (Kategori Anggota Kumpulan Pelaksana). - Bernama