Jika sebelum ini Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam, Pusat Tingkatan Enam SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran berkongsi tip bagaimana untuk menjadi guru yang cemerlang dan bernilai. Kali ini, beliau berkongsi pula tip bagaimana untuk menjadi seorang ketua yang disukai.

Tiga sebab ini perlu ada, jika mahu jadi guru yang cemerlang dan bernilai

Kali ini, beliau berkongsi pula tip bagaimana seorang ketua itu memikat hati pekerja seliaannya.  

1. Jadilah seorang pendengar yang baik

Fahamilah wahai ketua, kadangkala seseorang itu bercerita hanya untuk melegakan hatinya, bukan untuk meminta solusi. Pada saat ketua mahu mendengarnya, itu nikmat hati yang cukup hebat buat orang di bawahnya.

2. Jangan memihak apabila ada perbalahan

Dengarlah dahulu daripada kedua-duanya, selepas itu, selesaikan perbalahan dengan adil.

3. Jangan mendesak dalam sesuatu tugasan

Wahai ketua, berilah masa yang mencukupi. Jika masa begitu suntuk, berilah bantuan yang boleh melegakan hati mereka. Fahamilah wahai ketua, bekerja dalam keadaan tertekan itu sangat menyeksakan.

4. Banyakkan bertanya khabar di luar konteks kerja

Ada ketikanya, saat bertemu dengan orang bawahan, bertanyalah sesuatu yang di luar konteks kerja seperti sihat ke hari ini? Anak dah sihat ke belum? Minggu ini tak balik kampung ke? Dan sebagainya.

5. Berilah respon positif walaupun perkembangan orang bawahan masih perlahan

Teruskan menegur dan menunjuk jalan kerana itulah motivasi terbaik buat mereka. Memang ada orang yang kerjanya agak perlahan. Orang begini perlu ditanya dan didorang sentiasa dengan sabar. Percayalah, sokongan yang berterusan, akhirnya akan membuahkan hasil.

6. Jangan sinis

Wahai ketua, berterus terang itu lebih baik, berbanding sinis. Kedua duanya pasti melukakan. Namun sinis itu lebih teruk kecederaannya pada hati.

7. Ucaplah terima kasih walaupun pada tugas yang kecil

Walaupun ia nampak kecil, kesannya sangat besar kepada hati. Orang bawahan akan dapat melihat ketuanya itu teliti dalam menilai, termasuk dalam hal yang kecil pada pandangan mereka. Ia akan mendorong pekerja itu untuk terus memberi tanpa mengira sebesar mana sumbangannya.

8. Ucaplah maaf jika tersilap

Wahai ketua, kerendahan hati adalah sifat Rasulullah SAW. Jika ini yang diamalkan, tenanglah hatimu dan bertambahlah rasa hormat orang kepadamu. Tidak kalah orang yang meminta maaf dan tidak menang orang yang sombong.
 

Artikel Lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

Berlatih hanya dua minggu, tak sangka pasukan sekolah ini bolot emas semua kategori di Spain