KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Kuantan menubuhkan sebuah jawatankuasa induk bagi membuat penyelarasan seluruh Maahad Tahfiz di daerah ini.

Pegawainya, yang juga Kadi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain berkata, sehingga September ini terdapat lebih kurang 25 maahad tahfiz yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Jaip percaya lebih 20 lagi maahad tahfiz di daerah ini masih belum berdaftar di bawah MUIP.

"Oleh itu Jaip Kuantan mengambil pendekatan menubuhkan jawatankuasa yang mana di bawahnya terdapat tujuh jawatankuasa kecil yang akan mengkaji dan menyelaras seluruh maahad tahfiz di daerah ini bermula 4 September lalu.

"Jawatankuasa ini terdiri kalangan pengusaha maahad tahfiz berdaftar yang akan membantu rakan pengusaha tahfiz baharu dan belum berdaftar," katanya.

Menurut beliau, kaedah itu lebih efektif berbanding kita turun dan memberikan tindakan bagi mengelakkan persepsi atau stigma pengusaha tahfiz baharu bahawa kita turun sebagai pihak berkuasa agama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata antara jawatankuasa kecil tersebut adalah jawatankuasa penubuhan dan pendaftaran yang akan bertindak mengenal pasti semua maahad tahfiz dan membantu proses mendaftar; jawatankuasa yang akan bekerjasama dengan jabatan kesihatan, polis dan bomba; jawatankuasa tenaga pengajar yang akan menapis dan menemuduga tenaga pengajar daripada dalam dan luar negara dan jawatankuasa silibus atau subjek pelajaran maahad supaya selaras.

Sementara itu katanya, bagi kesemua jawatankuasa ini, Jaip akan bertindak sebagai pemudah cara di antara agensi terlibat.

"Jawatankuasa tersebut akan membentangkan laporan November ini untuk memberikan maklumat mengenai data keseluruhan maahad tahfiz di daerah ini, masalah maahad tahfiz dan kekangan, jumlah guru dari luar negara dan jumlah pelajar," katanya.

Katanya, data itu akan dikumpulkan dan dipecahkan serta dihubungkan ke mana mereka perlu.

"Kita tidak boleh menghalang ibu bapa memilih tahfiz untuk anak mereka sebaliknya ibu bapa dinasihati tidak mudah terpengaruh dengan pusat tahfiz yang menggunakan nama indah semata-mata, tetapi tidak menjalankan pembelajaran tahfiz yang sebenar,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihati ibu bapa menyemak latar belakang premis tahfiz sebelum menghantar anak-anak mereka mendalami pendidikan ilmu agama.