Apabila saya melaporkan diri untuk bertugas sebagai pemberita pelatih di Jalan Chan Sow Lin pada 2 Februari 1974, saya diletakkan di Utusan Melayu.

Sekiranya diberi pilihan, saya lebih suka ditempatkan di Utusan Malaysia, sebab akhbar tulisan rumi itu lebih popular, dibaca oleh semua orang. Utusan Melayu menggunakan tulisan jawi dan dianggap sebagai akhbar orang tua.

Ada anggapan ketika itu bahawa hanya orang tua membaca jawi, anak muda lebih selesa dengan rumi.

Hanya beberapa bulan setelah bertugas di akhbar jawi itu saya menyedari tulisan tersebut memang semakin kurang yang membacanya.

Malah, mengejutkan saya ialah hakikat bahawa sebahagian kakitangan syarikat Melayu itu termasuk yang bertugas di Utusan Melayu sendiri tidak tahu jawi.

Seorang pemberita yang lebih senior daripada saya memberitahu dia tidak dapat membaca berita dan rencana tulisannya yang tersiar sebab dia buta jawi.

Hatta dia tidak tahu pun namanya – byline – disiarkan sebab  dalam tulisan jawi.

Mengeja dan membaca nama sendiri dalam ejaan jawi pun dia tidak tahu, alangkah malangnya!

Sebagai anak Johor, saya bernasib baik sebab telah terbiasa dengan tulisan jawi, disebut juga tulisan Melayu sejak di sekolah rendah.

Pagi sekolah biasa ada satu subjek tulisan jawi.

Petang sekolah agama, semua kitab bertulisan jawi, tiada satu pun rumi.

Pendek kata jawi bukan satu masalah.

Ketika semua beralih kepada rumi, tulisan huruf Arab @ huruf al-Quran itu semakin kurang mendapat perhatian walaupun dalam kalangan orang Melayu sendiri.

Maka tidak menghairankan akhbar jawi tempat saya berkarya itu edarannya semakin mengecil setiap hari.

Akhirnya Utusan Melayu ditutup dan semakin lenyaplah jawi.

Bermacam usaha dilakukan termasuk oleh kerajaan untuk mempopularkan jawi tetapi semuanya gagal.

Orang lebih senang dengan rumi.

Saya teringat Ustaz Ramli, beliau satu-satunya penulis khat untuk tajuk-tajuk utama dalam Utusan Melayu dan mingguan Utusan Zaman.

Seni khatnya saya kagumi sampai sekarang.

Masih juga saya ingat zaman sekolah rendah di kampung saya, undangan makan kenduri kahwin semua ditulis tangan menggunakan tulisan jawi.

Ketika kakak kahwin, abah meminta saya menulis surat undangan sebab tulisan tangan saya adalah yang tercantik berbanding adik-beradik lain.

Ketika itu jawi menjadi tulisan rasmi di mana-mana, orang kampung tidak biasa dengan rumi.

Novel-novel pun dalam tulisan jawi, antara yang saya ingat ‘Wak Cantuk’ dan ‘Kisah Sepuluh Pelayan’.

Tetapi sekarang orang kampung saya pun lebih senang dengan rumi.

Ada sebilangan kecil orang tua yang selesa dengan jawi tetapi tidak dapat lagi membaca akhbar jawi.

Oleh sebab terlalu menulis dan membaca rumi, orang suka berumi-rumi walaupun pada perkara-perkara yang tidak sepatutnya dirumikan.

Adalah amat menyedihkan petikan-petikan al-Quran termasuk surah Yasin yang menjadi bacaan malam Jumaat di tempat saya juga menggunakan tulisan rumi.

Orang tidak lancar membaca surah tersebut dalam tulisan asal, sebaliknya lebih selesa membaca dan menyebut ayat-ayat suci itu dalam tulisan rumi.

Mana mungkin kita menyebutnya dengan tepat sekitanya tidak menggunakan huruf asal daripada langit!

Apa boleh buat sebab tidak fahamjawi, kita membaca al-Quran bertulisan rumi.

Malah, salah satu sebab ramai orang kita tidak tahu membaca kitab suci itu ialah kerana tidak mengenal huruf jawi.

Maka ada baiknya tulisan yang semakin pupus itu dihidupkan semula dengan memperkenalkannya sebagai salah satu subjek dalam pelajaran di sekolah.

Seperti mana yang diketahui, Kementerian Pendidikan berhasrat memperkenalkan seni khat dan tulisan jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu bagi Tahun Empat mulai tahun depan.

Saya tidak nampak apa yang hendak dikontroversikan mengenai perkara ini.

Sekiranya tulisan dan kaligrafi lain boleh dibenarkan, mengapa pembelajaran tulisan jawi hendak ditentang?

Jangan ada pusingan U, teruskan perkara yang baik ini!

Artikel berkaitan:

Cikgu, budimu kubawa mati! - Tulisan Datuk Jalil yang menyentuh hati

Komen bernas Datuk Jalil mengenai isu guru rotan pelajar setelah digelar 'cikgu pondan'

Tulisan Datuk Jalil: Mengapa biarkan guru seperti lilin - Tular dalam kalangan guru

Tulisan Datuk Jalil di Sinar harian hari ini dapat banyak respons guru

Kisah 'Cikgu Azizan' zaman saya sekolah tulisan Datuk Jalil ditular netizen