Putrajaya - Ujian Mendengar Pentaksiran Tingkatan 3(PT3) bagi bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Al-Lughahal-‘ArabiahAlMu’asirah yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan pada 31 Oktober bagi sekolah yang terletak di kawasan terjejas akibat jerebu  iaitu tahap bacaan IPU melebihi 200.

Menurut kenyataan media yang dihantar kepada GPS Bestari, berdasarkan pemantauan berterusan di seluruh negara menerusi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga jam 5 petang semalam mendapati kebanyakkan kawasan negeri di semenanjung Malaysia dan Sarawak menunjukkan tahap bacaan IPU Tidak Sihat dan Sangat Tidak Sihat.

"Kementerian Pendidikan (KPM) amat memahami akan kesukaran yang dihadapi pihak sekolah, pelajar dan ibu bapa akibat masalah jerebu yang dihadapi.

"Walaubagaimanapun, Ujian Mendengar PT3 bagi bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Al-Lughahal-‘ArabiahAlMu’asirah yang dijadualkan hari ini hingga 25 September akan diteruskan bagi daerah tidak terjejas akibat jerebu dengan pemantauan ketat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah," katanya.

Menurutnya, JPN, PPD termasuk pihak pengurusan sekolah di seluruh negara telah dimaklumkan akan langkah yang perlu diambil ketika menjalankan ujian ini dan diingatkan untuk secara berterusan memantau maklumat bacaan IPU yang dikeluarkan dari masa ke masa oleh pihak berwajib.