Saya tengok sekarang musim penempatan guru baharu. Semuanya muat baik di facebook mengenai maklumat penempatan untuk menzahirkan perasaan seronok dan keterujaan masing-masing kerana bakal menjadi guru. Sama macam saya dulu.

Teringat saya ketika mula bergelar guru tujuh tahun lepas.

Ketika di awal perkhidmatan sebagai guru, saya dapat merasakan bahawa semangat dan azam saya tersangatlah tinggi.

Mungkin ketika itu darah masih muda dan semangatnya pun lain macam.

Saya pasti guru-guru yang baru  ditempatkan pun mempunyai perasaan yang serupa seperti ini.

Keazaman yang membara kerana masih baharu dan segar.

Terasa seolah-olah diri inilah yang akan mengubah sistem pendidikan negara ke arah yang lebih baik. Hahahaha.

Tapi ingat, darah muda cikgu perlu dikawal dengan berhati-hati. Ketika inilah banyak dugaan akan datang melanda. 

Pernah pada suatu ketika saya menghukum beberapa pelajar kerana ditangkap menghisap rokok dalam tandas.

Entah mengapa, perasaan menghukum pelajar ketika itu menjadi satu keseronokan dalam diri saya.

Mungkin kerana perasaan bangga apabila telah bergelar seorang guru. Astaghfirullahal’azim.

Keesokan harinya, ibu bapa salah seorang pelajar yang dihukum datang ke sekolah untuk mencari cikgu yang menghukum anak mereka.

Walau bagaimanapun pihak sekolah dapat menanganinya dengan sangat baik. Nasib baiklah pada waktu itu belum ada kuasa tular. Kalau tidak entah apa jadi pada saya.

Saya tidak dipanggil untuk berhadapan dengan ibu bapa pelajar terbabit tetapi dipanggil untuk berjumpa dengan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) setelah ibu bapa pelajar tersebut pulang.

Beliau menasihati saya dengan baik. Beliau mengingatkan saya supaya semua guru perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika mengendalikan pelajar yang melanggar peraturan sekolah.

Salinan pekeliling mengenai mematuhi SOP dalam kaedah menghukum pelajar diberikan kepada saya untuk dibaca.

Mulai saat itu saya sedar bahawa keseronokan yang saya rasai ketika menghukum pelajar hanyalah mengikut perasaan sendiri.

Saya tidak sedar ketika itu bahawa jika tersilap langkah, ia mungkin boleh memberi kesan buruk kepada kerjaya saya.

Selepas peristiwa itu, saya lebih berhati-hati apabila berhadapan dengan pelajar bermasalah.

Saya menggunakan saluran yang betul dan menyerahkan semua urusan kepada pihak sekolah untuk melaksanakan hukuman.

Dengan cara ini, kehidupan saya menjadi lebih tenang.

Sebenarnya, mematuhi apa sahaja SOP ini memberi banyak kelebihan kepada guru termasuklah menjadi guru pengiring untuk menemani pelajar yang terlibat dengan aktiviti di luar kawasan sekolah.

Jika cikgu dilantik untuk menjadi guru pengiring, minta pihak sekolah menyediakan pengangkutan khusus sama ada kenderaan rasmi sekolah ataupun sewa dari luar.

Jangan guna kenderaan sendiri kerana banyak risikonya.

Jika berlaku perkara yang tidak diingini dalam perjalanan (bukanlah kita minta), cikgu yang akan menanggung akibatnya.

Jika sekolah tak nak sediakan pengangkutan juga, jangan hantar penyertaan. Senang cerita.

Satu lagi, kalau cikgu bukanlah seorang guru disiplin, jangan sesekali melaksanakan hukuman ke atas pelajar kecuali hukuman yang tidak melibatkan sentuhan fizikal seperti memberi kerja rumah tambahan.

Menegur pelajar yang melanggar peraturan disiplin di sekolah memang perlu kerana itu juga tanggungjawab seorang guru.

Semua guru dianggap guru disiplin tetapi bukanlah bermakna kita mempunyai hak untuk melaksanakan hukuman.

Cikgu jangan sesekali menyentuh pelajar tersebut bagi tujuan menghukum. Sangat bahaya.

Zaman sekarang, menyentuh pelajar dengan tujuan menghukum sudah boleh dianggap kesalahan jenayah kecuali guru yang diberi kuasa oleh pengetua.

Tak pasal-pasal nanti cikgu di bawa ke balai polis pula. Cikgu boleh tegur dahulu pelajar yang melakukan kesalahan, rekod nama pelajar tersebut dan jenis kesalahan yang dilakukannya.

Selepas itu serahkan sahaja kepada guru disiplin atau bahagian hal ehwal murid. Biar pihak ini sahaja yang membuat kerja mereka.

Cara seperti ini akan membuatkan cikgu berasa lebih tenang berada di sekolah. Tidak perlu memeningkan diri sendiri untuk memikirkan masalah pelajar. Tumpukan sahaja kepada pelajar-pelajar lain yang berminat untuk belajar dan tugas-tugas guru yang lain.

Itulah sebabnya unit disiplin, bahagian HEM, dan unit bimbingan dan kaunseling ditubuhkan.

Mereka inilah yang dipertanggungjawab untuk mengendalikan pelajar bermasalah di sekolah.

Jika cikgu sangat berminat untuk menguruskan pelajar bermasalah, bolehlah membuat permohonan untuk menjadi guru disiplin kepada pengetua.

Ini pula 10 tip untuk guru yang mengajar kelas belakang https://www.gpsbestari.com/tip/tip-mengajar/1o-tips-ohsem-ini-mungkin-membantu-cikgu-mengajar-kelas-belakang-1.776357