PERAK - “Jika hanya dengan pembedahan saya dapat pulih, saya sanggup asalkan dapat fokus belajar dan aktif seperti dulu,” kata Wardina Fatihah Aqilah Mohd Fadil, 16, yang menderita sakit tulang belakang bengkok atau skoliosis sejak empat tahun lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Iskandar itu nekad melakukan pembedahan kerana mahu fokus menghadapi  peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Doakan pembedahan saya berjaya, bolehlah saya pasang impian belajar sampai ke universiti dan mencapai cita-cita menjadi seorang akauntan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Seri Iskandar di sini semalam.

Wardina Fatihah dijadualkan menjalani pembedahan  pada November ini di Pusat Perubatan Universiti  Malaya (PPUM).

Ibunya, Junaidah Yacob, 41, berkata, penyakit  itu dikesan ketika anaknya berada di tingkatan satu  selepas sering mengalami kesukaran bernafas.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati anaknya mengalami masalah tulang belakang bengkok yang agak serius.

Junaidah dan suami, Mohd Fadil Samsudin, 40, bagaimanapun buntu memikirkan  kekangan kewangan kerana kos pembedahan itu berjumlah RM26,000.

Katanya, dia yang berpendapatan sekitar RM1,500 sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dan suami yang mengusahakan bengkel tidak mampu untuk menyediakan kos pembedahan dan rawatan berkenaan dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Setakat ini, kami hanya dapat mengumpul  RM10,000 hasil sumbangan MAIPk (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak),” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 154044814597 atas nama Junaidah Yacob atau menghubungi talian 016-397 3379.

Baca:

Murid tak datang duduk UPSR, cikgu ini nekad cari di rumah dan apa yang terjadi mengejutkan ramai

Projek baik pulih sekolah daif di Sarawak bermula sejak 5 Ogos

Sekolah di lapan daerah di Sarawak ditutup

Sarawak tunggu dana Persekutuan bagi latih 3,000 guru ajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris

'Rezeki dapat pindah' - Guru dari Sarawak kongsi berita gembira mengenai EGtukar