Jika guru-guru kenal pasti anak murid anda KIDAL atau LEFTHANDED usahlah merasa gusar. Untuk mendidik mereka, Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Gemencheh, Negeri Sembilan, Ustazah Supiyaton Mokti ini ada tipnya.

Kita faham dalam masyarakat timur, tangan kidal itu masih dipandang sebagai satu yang janggal. Malah kita juga sedia maklum penggunaan tangan kanan adalah lebih sopan dan beradab. Namun kita perlu faham, kejadian itu bukanlah pelik, tetapi lumrah bagi sesetengah manusia.

Cuma peranan kita sebagai guru, adalah membantu mereka belajar untuk mengenal pasti fungsi tangan kanan dan tangan kiri. Serta memberikan kefahaman kepada murid yang lain, bahawa ‘KIDAL’ itu tidak pelik, tetapi ia adakah kejadian ‘NORMAL’ bagi manusia.

Kongsi pengalaman sendiri

“Saya teringat ketika anak saya masih lagi bayi. Bila dia mula pandai mencapai pastinya tangan kirinya paling lincah untuk mengambil sesuatu. Saya dah mula perasan. Apa sahaja yang dipegang semua dengan tangan kirinya. Bila masuk umur setahun lebih, makin SERASI dia menggunakan tangan kiri. Walaupun ada juga yang kurang senang dan memberikan pandangan yang mengguris hati, bila perasan anak kami “KIDAL”. Maklumlah berjabat tangan pun tangan kiri. Namun masih ada yang memahami dan menegur positif dan membina.” Ustazah Supiyaton Mokti.

Sesetengahnya menganggap murid KIDAL ini ‘menjengkelkan’. Namun hakikatnya mereka ini sebenarnya murid yang normal, sama dengan murid yang lain.

Cuma apa yang perlu, guru mahupun ibu bapa perlulah sabar mendidikan mereka. Permulaannya, ajar anak murid bila waktu yang perlu mereka gunakan tangan kanan dan tangan kiri.

PERTAMA: JANGAN RISAU

Usah risau dan jangan menganggap ini sebagai ‘masalah’, ‘kecacatan’ atau ‘janggal’. Ingat ianya satu kelebihan kepada mereka. Kita usahakan untuk murid ini buat yang terbaik dengan ‘KIDAL’nya.

KEDUA: AJAR MURID BEZAKAN BILA PERLUNYA GUNA TANGAN KANAN DAN KIRI

Kita ajar bila perbuatan penting dan wajib guna tangan kanan atau kiri.

Contohnya;

I. Makan mesti tangan kanan

II. Berjabat tangan kanan

III. Mengambil barang dari orang tangan kanan

IV. Pegang makanan tangan kanan.

V. Bila cuci najis guna tangan kiri

**** yang lain-lain difikirkan perlu.

KETIGA: JANGAN MEMAKSA

Perlu diingat jangan memaksa semua perkara untuk dia mengubah menggunakan tangan KIDAL kepada kanan.

Contoh:

Bila mula masuk alam persekolahan dia akan mula serasi menulis menggunakan tangan kiri. Biarkan, agar dia selesa untuk belajar. Jika tidak murid akan ‘tertekan’ dengan kesempurnaan yang kita mahu.

Begitu juga dengan aktiviti lain yang tidak melibatkan adab atau  kepentingan penggunaan tangan kanan dalam kehidupan seharian dia. Misalnya bagi murid yang aktif bersukan, jika murid itu selesa memegang kayu hoko dengan tangan kiri. Biarkan, boleh jadi baginya kekuatan pukulan itu ada pada tangan KIDALnya.

KEEMPAT: PERLU PENGULANGAN, PERINGATAN DAN TEGURAN

Selalu diingatkan perlakuan penggunaan tangan kanan seperti makan…

 “ makan tangan kanan…ni tangan kanan”.

“Bila cuci najis, tangan kiri….ni tangan kiri.”

Perlu segera ditegur dan diingatkan selalu. Mohon bantuan pada semua guru mahupun ahli keluarga untuk menegur penggunaan tangan kanan atau kiri.

KELIMA: MOHON KERJASAMA  SEMUA GURU, AHLI KELUARGA, JIRAN DAN KENALAN RAPAT

Mohon bantuan pada semua guru, ahli keluarga untuk membantu murid itu membezakan penggunaan tangan kanan dan kiri. Maklum pada murid itu, kelebihan yang ada padanya. Perkongsian begini membantu murid itu untuk lebih memahami perbezaan penggunaan tangan kiri dan kanan mereka.

KEENAM : JANGAN AMBIL SIKAP “TIDAK PEDULI” ATAU PUTUS ASA

Kita perlu ambil peduli dengan perkembangan anak kita SI KIDAL. Pastikan kita berusaha yang terbaik untuk anak kita agar selesa dengan KIDALnya tanpa meninggalkan adab penting dalam membezakan keperluan penggunaan tangan kanannya. Ingat! Mendidik bukan satu proses yang mudah.

 Perlu ambil ambil masa bukan sekelip mata akan berubah. Jangan mudah putus asa..usaha sehingga dia faham kenapa? Mengapa? Bila? dia boleh dan tidak boleh menggunakan KIDALnya.

#syukuratasnikmatMu

Artikel Lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

Berlatih hanya dua minggu, tak sangka pasukan sekolah ini bolot emas semua kategori di Spain