JOHOR BAHRU - SERAMAI 38,000 kanak-kanak di 1,781 Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) di bawah Kementerian Perpaduan Negara di seluruh negara memulakan sesi persekolahan pada hari ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) normal baharu dipatuhi, kementeriannya menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.4 juta bagi proses sanitasi, menyediakan sanitizer dan peralatan diperlukan susulan normal baharu untuk menghalang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pembukaan 41 buah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Genius Perpaduan pula adalah pada 16 Julai depan.

“Saya berpuas hati dengan  SOP yang telah dipatuhi secara keseluruhannya dengan baik di Tabika dan Taska di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

“Saya mengharapkan ibu bapa juga bersama-sama bertanggungjawab dengan pengurusan Tabika atau Taska bagi memastikan anak mereka dalam keadaan sihat dan menyediakan kelengkapan anak,” katanya pada sesi lawatan ke Taska Genius Perpaduan di Taman Universiti Skudai di sini semalam.

Untuk rekod, terdapat dua Taska Genius Perpaduan di Johor iaitu di Taman Universiti Skudai dan Simpang Renggam.

Dalam pada itu beliau memberitahu, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi melihat semula silibus Taska bagi mem­bolehkan penambahbaikan dari aspek pembela­jaran dan nutrisi pemakanan.

“Sebuah jawatankuasa untuk melihat semula silibus Taska ini sudah ditubuhkan. Ada pendekatan baharu yang akan dimasukkan dalam modul permata genius.

“Jawatankuasa ini dipantau Timbalan Menteri Perpaduan, Datuk Seri Ti Lian Ker," kata beliau.