KOTA TINGGI - Sebanyak tujuh sekolah agama dalam Dun Penawar terpilih menerima sumbangan berjumlah RM139,714 daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj), berupa bantuan awal persekolahan, pakaian sekolah dan bantuan program makanan sihat.

Adun Penawar, Hamimah Mansor berkata, penyerahan sumbangan itu turut melibatkan kerjasama Mainj melalui Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID).

Menurutnya, turut sama menerima sumbangan melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi ialah bantuan bagi pakaian persekolahan, melibatkan tiga sekolah menengah dan tujuh sekolah rendah terpilih dengan jumlah bantuan RM23,176.

"Bantuan ini seiring dengan konsep pembangunan Johor Berkemajuan cetusan idea menteri besar, yang berikrar untuk tidak akan pernah sesekali mengabaikan atau memandang ringan hal pembangunan modal insan melalui pendidikan agama Islam.

"Walau apa jua kedudukan ekonomi dan pembangunan yang dialami oleh negara dan kerajaan negeri, tidak ada alasan boleh diterima menyebabkan pendidikan agama Islam tergugat dan tergadai," katanya.

Beliau berkata, kepimpinan mahukan agar ia terus diperkasa bagi menghasilkan insan cemerlang dan holistik, yang diterjemah melalui bantuan diberikan Mainj.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd Noorazam Osman, wakil Kadi Daerah, Norhafizah Musa.