MERSING - Seramai 25 murid cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan baru-baru ini menerima insentif daripada Parlimen Mersing dalam Program Khatan Perdana siri ke-6, Sabtu lalu.

Exco Belia Sukan Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan yang hadir merasmikan program tersebut mengucapkan tahniah atas pencapaian murid terbabit.

Menurutnya, keputusan untuk meraikan atau tidak setiap murid yang cemerlang dalam apa juga peperiksaan terpulang kepada individu. 

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah juga untuk 25 anak-anak yang cemerlang dalam UPSR di daerah Mersing. 

“Ada yang kata anak yang dapat 6A ini tidak perlu disambut, ada yang kata perlu disambut. Ada pro dan kontra sama ada kita nak meraikan ataupun tidak kejayaan mereka. Saya rasa itu bergantung kepada diri masing-masing,” katanya ketika merasmikan Program Khatan Perdana Parlimen Mersing 2017 di Dataran Kembara, Sabtu lalu.

Zulkurnain menyampaikan insentif kepada murid yang cemerlang UPSR.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan agar sekolah meraikan kesemua calon UPSR bukan hanya tertumpu kepada murid yang memperoleh A.

Mengulas lanjut, Zulkurnain yang juga Adun Sri Medan berkata, kerajaan negeri bukan sahaja meraikan kejayaan anak-anak dalam pendidikan harian malah turut meraikan pencapaian dalam pendidikan agama.

“Hari ini kerajaan negeri bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada yang berjaya dalam UPSR, PT3 atau SPM, tapi mereka yang berjaya dalam pendidikan agama juga diraikan seperti Darjah Khas dan sebagainya.

“Ini membuktikan dalam kita mahu membangunkan negeri Johor, kita juga perlu menyeimbangkan antara didikan agama dan didikan harian biasa,” katanya.

Dalam program sama, beliau turut menyampaikan sumbangan ‘Back to School’ tajaan UEM Berhad kepada 200 calon murid darjah satu bagi sesi persekolahan tahun hadapan.

Murid yang akan memasuki tahun satu menerima sumbangan beg sekolah sempena program Back to School.