PASIR GUDANG - Seramai 46 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari lapan sekolah hotspot di Pasir Gudang menduduki peperiksaan dalam bilik khas.

Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains  dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata,  mereka yang ditempatkan dalam bilik khas itu merupakan murid yang berisiko mengalami gangguan kesihatan akibat pencemaran udara barubaru ini.

“Inisiatif membuka bilik khas di setiap lapan  sekolah hotspot diambil  bagi mengelakkan kejadian  tidak diingini berulang ketika calon sedang menjawab peperiksaan.

“Bilik khas ini tertutup yang dilengkapi pendingin  hawa dan dijaga seorang  pengawas peperiksaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di bilik khas calon  UPSR Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih yang turut menempatkan sembilan murid semalam.

Aminolhuda berkata, pembukaan bilik khas diambil berdasarkan kebenaran diberikan ibu bapa calon.

“Kita kenal pasti ada 12 sekolah di lokasi hotspot  sering berlaku kejadian ini,  namun hanya lapan sekolah yang membuka bilik  khas dengan persetujuan ibu bapa manakala penjaga murid di baki empat sekolah lagi menolak anak mereka menduduki UPSR di bilik khas,” katanya.

Pada 28 Ogos lalu, seramai 33 murid SK Taman  Pasir Putih dihantar ke  klinik berdekatan kerana mengalami gejala muntah  dan pitam akibat terhidu bau busuk yang tidak dikenal pasti puncanya.

Dalam kejadian kirakira jam 7.30 pagi itu, semua  pelajar yang terkesan  duduk di bilik darjah tingkat tiga dan empat sekolah berkenaan.

Susulan itu, Pejabat  Pendidikan Daerah Pasir Gudang telah mengarahkan  kira-kira 11,300 murid Tahun 1 hingga Tahun 5  dari 12 sekolah hotspot  berlaku insiden pencemaran udara di Pasir Gudang supaya bercuti mulai kelmarin sehingga 11 September ini sebagai langkah berjaga-jaga.

TIP MENARIK:

Dua tajuk penting subjek Sains untuk calon UPSR hafal, ingat - Contoh soalan disediakan (Siri 1)

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Guru ini kongsi 10 panduan skor A subjek bahasa Melayu UPSR

Enam tip berkesan sebelum duduki peperiksaan