JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersedia menerima kira-kira 618 siswa yang dikenal pasti untuk kembali semula ke kampus bagi fasa pertama mulai Isnin ini (1 Mac).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM Prof Dr Shamsul Sahibuddin berkata, kesemua mereka dikenal pasti sebagai berkeperluan khas bagi menyelesaikan gred akademik yang tertangguh sebelum ini.

Katanya, mahasiswa berkenaan akan melalui prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti sebelum ini dan dibenarkan menggunakan makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas di kampus dengan mengikut jadual ketat yang telah disediakan oleh fakulti masing-masing.

"Penuntut ini dibenarkan masuk ke kampus setelah mendapat kebenaran merentas negeri dan setibanya di kampus, mereka akan diletakkan di Pusat Isolasi khas yang dipantau oleh Pusat Kesihatan Universiti selama 10 hari.

"Mereka juga akan diberi pemerhatian penuh dari segi kesihatan terutamanya yang bergejala akan terus dibawa ke Pusat Kuarantin. Segala kos penginapan isolasi 10 hari tersebut juga adalah ditanggung oleh pihak universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Shamsul berkata kebajikan mahasiswa ini juga adalah diutamakan khususnya kemudahan makanan dan prosedur keluar masuk pelajar yang akan melalui prosedur ketat.

Pada 1 Mac ini, dijangka 3,000 pelajar prasiswazah dan pascasiswazah akan mula mendaftar secara dalam talian menggunakan aplikasi UTMSmart.

Selain itu, UTM juga bakal menerima kepulangan 100 siswa dari Sabah dan Sarawak tidak lama lagi.

"Mereka ini kategori berkeperluan khas iaitu yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas serta pelajar tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian. Mereka juga akan menjalani sesi pembelajaran secara hibrid,” katanya.

Selain penuntut berkenaan, pihak pengurusan universiti juga bersetuju untuk membenarkan mahasiswa yang akan menjalani Latihan Industri (LI) dan Latihan Mengajar (LM) untuk menginap di blok khas dalam kampus dengan mengikut prosedur lebih ketat - BERNAMA

Artikel menarik

Pecutan Akhir Kimia SPM 2020 bersama 10 Guru Cemerlang. Mohon calon hadam dengan baik

10 tip menarik persediaan kembali ke sekolah, murid boleh manfaatkan kaedah ini!