JOHOR BAHRU - Terdapat segelintir pelajar yang menjadi mangsa pencemaran Sungai Kim Kim di sini, masih trauma dan enggan hadir ke sekolah.

Exco Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan berkata, namun jumlah pelajar trauma terbabit tidak ramai.

Menurutnya, peratusan kehadiran pelajar ke sekolah menunjukkan peningkatan pada hari kedua sesi persekolahan bermula.

"Mengikut laporan kehadiran hari ini (semalam) mencapai 95 peratus kalau dibandingkan semalam (kelmarin) sekitar 90 peratus. Yang masih trauma ini pelajar yang dimasukkan ke hospital, mereka masih bimbang.

"Ibu bapa juga masih memantau sekolah anak betul-betul selamat dulu baru anak hadir ke sekolah. Berapa ramai pelajar trauma belum pasti lagi tapi tak ramai " katanya selepas merasmikan Program Pendekatan Jawatankuasa Saintifik Bencana bersama Pejabat Pendidikan Pasir Gudang di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru, di sini, semalam.

Menurutnya, ibu bapa pelajar bagi sekolah-sekolah yang terkesan teruk di kawasan Taman Pasir Putih dan Tanjung Puteri Resort turut masih bimbang.

"Sekolah yang terkesan teruk seperti SK Taman Pasir Putih, SMK Taman Pasir Putih, SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri Resort di mana pelajarnya dapat rawatan di hospital, ICU (Unit Rawatan Rapi) memang ibu bapa tidak mahu anak-anak terlibat lagi.

"Kehadiran sekolah yang tidak terkesan pula biasanya antara 96 hingga 97 peratus," katanya.

Beliau turut mengesahkan tiada pelajar yang menunjukkan simptom pencemaran selepas dua hari persekolahan bermula.

Sebelum itu, Ketua Unit Jawatankuasa Saintifik Bencana Pasir Gudang, Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff menyampaikan taklimat berhubung insiden pencemaran kimia di Sungai Kim Kim.