BATU PAHAT - Dua sekolah daif di negeri ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Paya, Batu Pahat dan SK Parit Markom, Pontian akan dibina semula dan dinaiktaraf dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.8 juta.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, bagi SK Seri Paya, kos sebanyak RM2.93 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja meroboh dan membina bangunan empat bilik darjah, tiga bilik Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bilik guru, tandas dan lain-lain kemudahan.

“Bangunan lama sekolah ini telah usang kerana sudah berusia lebih 70 tahun dan ada sebahagian strukturnya sudah dimakan anai-anai serta tidak selamat digunakan untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) sejak beberapa bulan lalu.

“Jangkaan projek bermula adalah pada 17 Jun ini dan dijangka siap pada 15 Disember tahun ini melibatkan skop kerja meroboh astaka, pembinaan laluan berbumbung, pagar, sistem retikulasi air, sistem kumbahan, tangki air dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Pembinaan Semula dan Menaiktaraf Sekolah Daif Tahun 2019 di SK Seri Paya di sini kelmarin.

\

Solihan (dua, kiri) mendengar penerangan daripada pegawai JKR Negeri Johor.

Hadir sama Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan. Mohd Solihan berkata, bagi skop kerja SK Parit Markom pula menelan kos sebanyak RM893,333 bagi meroboh dan membina baharu blok kantin dan pondok pengawal selain pembinaan laluan berbumbung, pagar, pelebaran pembetungan, kerja tambakan tanah dan pelbagai lagi.

“Sekolah ini juga mengalami masalah hampir sama dengan SK Seri Paya ini dan kerja-kerja pembinaan akan bermula pada 17 Jun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 1 Disember 2019 dan kedua-dua projek ini merupakan peruntukan di bawah pembangunan Kementerian Pendidikan.

“Projek ini juga dilaksanakan secara tender terbuka dan saya melihat projek ini sangat penting untuk pembangunan sahsiah rakyat dan kontraktor yang dilantik harus menyiapkan projek ini mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, pada tahun depan, lima permohonan membina baharu dan menaiktaraf sekolah daif di negeri ini yang berada pada skala satu hingga tujuh akan dihantar kepada Kementerian Pendidikan dan mengakui keadaan sekolah daif di negeri ini tidak seteruk sekolah di Sabah dan Sarawak.

Info

1. SK Seri Paya diperuntukkan RM2.93 juta bagi kerja meroboh dan membina bangunan empat bilik darjah, tiga bilik Program Pendidikan Khas Integrasi, bilik guru, tandas dan lain-lain kemudahan

2. SK Parit Markom diperuntukkan RM893,333 bagi kerja meroboh dan membina baharu blok kantin dan pondok pengawal selain pembinaan laluan berbumbung, pagar, pelebaran pembetungan, kerja tambakan tanah dan pelbagai lagi.

Artikel menarik:

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Pelajar kelas belakang.. cikgu ini kongsi enam kelebihan ajar mereka

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Seronok bertugas di pedalaman, cikgu comel ini tak kisah disengat kala jengking

Dr. Tengku Asmadi kongsi tip dorong pelajar belajar dengan mudah