PASIR GUDANG - Bapa kepada pesakit myokimia, Irfan Wafiy Idham Wazir yang dipercayai mangsa kesan pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac lalu memohon kerajaan mempertimbangkan anaknya mendapatkan rawatan di luar negara.

Idham Wazir A Wahab, 49, berkata, anak lelakinya itu hanya bergantung kepada ubat sawan kerana tiada rawatan yang sesuai di Malaysia.

“Saya mohon kerajaan bantu rawatan Irfan di luar negara kerana tak ada rawatan untuk penyakit ini di Malaysia.

“Mungkin kena cari rawatan di luar negara yang ada kes pencemaran sebab pakar sendiri beritahu mereka tidak ada pengalaman dengan penyakit ini. Ia kes pertama di Malaysia,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia di sini semalam.

Idham dan isterinya, Norlela Abu Hashim, 45, hadir menemani Irfan Wafiy ketika menerima kunjungan Exco Pendidikan, Aminolhuda Hassan di sekolah berkenaan.

Namun, Idham berkata, sebarang rawatan untuk penyakit Irfan Wafiy perlu menunggu sehingga anak keempatnya selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September ini.

Sementara itu, Idham berkata, dia sekeluarga menghargai usaha kerajaan negeri yang akan membantu mencari dana untuk menampung kos rawatan Irfan Wafiy.

“Jika rawatan dalam negara, saya boleh tanggung lagi. Boleh dikatakan saya perlu jaga Irfan 24 jam, hantar ke HKL (Hospital Kuala Lumpur), rawatan alternatif dan makanan tambahan,” katanya yang berhenti kerja pada April lalu untuk memberi tumpuan terhadap  rawatan anaknya itu.

Idham (kiri) dan Norlela menghantar Irfan Wafiy ke SK Taman Bukit Dahlia semalam.

Irfan Wafiy yang berkerusi roda jelas kelihatan kerap menahan sakit disebabkan kakinya terus menggeletar dengan kuat.

Difahamkan Irfan Wafiy mengalami kekejangan pada betis setiap kali berjalan agak jauh seperti menaiki tangga ke kelasnya, malah kedua-dua betisnya tidak boleh disentuh kerana akan menyebabkan dia kesakitan.

Dalam pada itu, Aminolhuda berkata, kerajaan negeri akan melancarkan satu tabung bagi menampung kos rawatan Irfan Wafiy selepas tamat UPSR nanti.

“Kita minta kepada orang ramai khususnya syarikat di sekitar sini agar dapat membantu kos rawatan yang munasabah untuk Irfan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminolhuda turut menyarankan agar alat pengesan gas ‘volatile organic compounds’ (VOC) dikekalkan di sekolah berisiko di Pasir Gudang.

“Hari ini (semalam) hari terakhir alat pengesan ini dipinjamkan ke sekolah. Adalah lebih baik alat ini dikekalkan di sekolah yang paling berisiko.

“Sekurang-kurangnya 10 sekolah yang perlu diberikan alat ini yang berhampiran betul dengan kawasan industri. Saya juga cadangkan agar alat pengesan gas ini dilengkapi sistem bunyi amaran jika mengesan bacaan melebihi paras selamat,” katanya.   

Artikel lain:

'Tak sangka pergi pun bersama... ibu sebak cerita rutin harian anak-anaknya mengaji al-Quran'

Calon SPM derita kanser ovari rindu kembali ke sekolah

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi