PONTIAN - Kebolehannya melukis mural dalam tulisan Mandarin dan Tamil menjadikan Aziz Deraman popular dan sentiasa menerima permintaan melukis mural di dinding bangunan.

Bekas pelajar sekolah menengah agama itu juga mahir melukis kaligrafi.

Pemuda berusia 28 tahun dari Kampung Parit Mesjid itu hanya menggunakan berus dan pembaris.

“Saya tidak menekap tulisan di kertas tetapi perlu memberi perhatian sebelum melukis di dinding,” katanya.

Aziz menyiapkan lukisan mural kaligrafi Jawi.

Aziz yang dikenali dengan panggilan 'Abang Mural' berkata, dia menggunakan binaan besi sebagai tempat berdiri untuk melukis pada ketinggian empat atau lima tingkat bangunan.

“Logo sekolah, kata-kata semangat untuk pelajar berjaya, Jalur Gemilang dan bunga raya antara lukisan yang mendapat permintaan,” katanya.

Aziz berkata, lukisan berdimensi seperti 3D dan 4D juga mendapat permintaan bagi menambah keceriaan bangunan.

Aziz bersyukur kerana bakatnya tidak disia-siakan dan pernah mendapat jemputan di Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Selangor.

Pelukis mural ini percaya lukisan itu mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum kerana mengetengahkan keharmonian negara.

Sementara itu rakannya, Nazarudin Samsudin, 50, berkata, dia kerap mengajak Aziz melukis mural di dinding sekolah ketika mendapat kontrak mengecat bangunan sekolah.

Katanya, kebolehan Aziz disifatkan luar biasa kerana mampu melukis pelbagai tulisan yang menarik perhatian masyarakat.

Artikel berkaitan:

Cikgu Khamidon kongsi empat tip hasilkan mural cantik di sekolah

Cikgu 'conteng' tangga, hasilkan mural yang nampak hidup dan menenangkan

Projek mural Cikgu Donze

Mural bertema SJKT Ladang Sabrang jadi tarikan

Mural kebanggaan SK Badan Serai