Melihat kepada dekorasi Perpustakaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Tawar, Kota Tinggi, Johor ini pasti ramai yang rasa terkejut dan terpukau dengan setiap sudut yang dihias cantik di dalam pusat sumber itu.

Mengetengahkan tema 'modern farmhouse  dan cottage', proses menukar wajah baru atau 'make over' perpustakaan itu juga menarik perhatian warga maya sehingga ada yang beranggapan ia seolah-olah dekorasi di kedai kopi hipster yang menjadi tempat bersantai kebanyakan remaja pada hari ini.

Berkongsi mengenai fasa dekorasi perpustakaan berkenaan, Guru Perpustakaan dan Media (GPM), SMK Air Tawar, Cikgu Suzaituladwini Hashim, berkata beliau memilih untuk membuat transformasi itu selepas diberi tanggungjawab sebagai GPM bermula tahun ini.

"Saya sebenarnya memang meminati bidang dekorasi tambahan pula minat ini turut mendapat sokongan daripada suami, Muhamad Solehin Daud yang juga bertanggungjawab menyumbang tenaga dalam membantu saya dan beberapa lagi guru lain dalam menjayakan proses dekorasi perpustakaan ini.

"Dekorasi perpustakaan ini merangkumi tiga fasa iaitu fasa satu membabitkan bilik pengurusan pusat sumber yang saya namakan sebagai spring room dan bilik utama (winter room) manakala fasa kedua adalah bilik yang dikenali dengan nama summer room dan fasa terakhir ialah bilik tayangan (autumn room) yang dijangka dibuat selepas Aidilfitri ini," katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Cikgu Suzaituladwini (dua dari kanan) bersama rakan-rakan guru yang menjayakan dekorasi perpustakaan SMK Air Tawar.

Menggunakan warna putih sebagai warna utama, Cikgu Suzaituladwini berpendapat pemilihan warna itu akan memberi lebih pencahayaan, membuatkan perpustakaan nampak lebih luas, bersih dan senang untuk diubah tema dekorasi jika warna itu digunakan sebagai asas.

"Tempoh yang diambil untuk menyiapkan dua fasa dekorasi perpustakaan ini mengambil masa kira-kira dua bulan dengan bantuan daripada suami saya, Guru Pembantu Perpustakaan, Aslamiah Dolman, mantan guru perpustakaan tahun lepas, Shuziana Yunos, pekerja pembersihan sekolah, Rozita Jaipon dan beberapa orang bekas pelajar.

"Setakat ini kos untuk dekorasi perpustakaan menelan belanja kira-kira RM4,000 hasil peruntukan daripada pihak sekolah dan simpanan saya sendiri manakala barang-barang pula dibeli secara atas talian dan di beberapa kedai yang menjual barang dekorasi rumah," katanya.

Mengulas mengenai gambar perpustakaan sekolahnya yang tular di media sosial itu, Cikgu Suzaituladwini terkejut dengan respon yang diterima daripada warga maya kerana tujuan beliau berkongsi adalah untuk mengabadikan ia sebagai kenangan selain memberi idea dekorasi kepada orang lain.

"Saya bersyukur kerana transformasi wajah baru perpustakaan ini juga mendapat maklum balas positif daripada pelajar, guru-gur dan pentadbir termasuklah Pengetua, Farzeli Che Mat Mustafa yang berterusan memberi sokongan kepada saya dan rakan-rakan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

"Saya seronok apabila melihat pelajar-pelajar tidak sabar menunggu giliran untuk masuk ke perpustakaan ini, sekali gus membuatkan penat lelah kami semua dalam bertungkus lumus menghias perpustakaan ini sangat berbaloi," kata beliau.

Artikel menarik

'Saya lorek dalam buku sebab takdak tasbih, ustaz' - Hati warganet tersentuh sekali lagi

Semak status akreditasi sebelum pilih program pengajian