BATU PAHAT - Seorang bapa maut manakala tiga anaknya cedera apabila kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam parit di bahu jalan.

Dalam kejadian jam 7 pagi semalam, Muhamad Yahood, 48, maut sewaktu menerima rawatan di Klinik Kesihatan Parit Yaani manakala tiga anaknya berusia 11, 10 dan setahun cedera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Razali Mohd Tahir berkata, berdasarkan laporan awal, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta terbabit dari arah Sri Bengkal menghala ke Pekan Parit Yaani gagal dikawal dan terbabas ke parit di sebelah kiri jalan.

“Akibat kemalangan, mangsa dan tiga kanak-kanak berada dalam kereta itu diselamatkan orang awam dengan menghantar mereka ke klinik Parit Yaani.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Razali, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu saksi kejadian yang juga seorang guru nekad nekad terjun ke dalam parit demi menyelamatkan mangsa dan tiga anaknya.

Menurut sumber, guru yang dikenali sebagai Cikgu Kamarulzali dipercayai bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth di Yong Peng itu bertindak terjun selepas menyedari kemalangan yang berlaku di hadapan rumahnya.

Katanya, guru berkenaan yang sebelum itu sedang bersiap ke sekolah berusaha mengeluarkan mangsa yang berada kenderaan terbabit sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.